Berita Hari Ini

Malaysia hantar angkasawan kedua 2016

angkawasan

MALAYSIA bercadang menghantar angkasawan kedua negara ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menjelang tahun 2016 selepas misi pertama berjaya dilaksanakan oleh Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor pada 2007 lalu.

Pegawai Sains Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Mohd Zamri Shah Mastor berkata, pihaknya kini sedang mengumpul maklumat bagi penyelidikan yang akan dilakukan oleh angkasawan kedua negara di ISS.

Menurutnya, penghantaran angkasawan kedua juga perlu dilihat dari beberapa aspek seperti kajian cuaca dan juga ekonomi negara.

Mohd Zamri berkata, kos menghantar angkasawan ke ISS memerlukan dana yang besar, dan boleh mencecah RM100 juta.

“Cadangan penghantaran angkasawan kedua negara sebelum ini telah pun diluluskan oleh Kabinet, tapi ia bergantung kepada keadaan ekonomi negara pada tahun 2016 nanti,” katanya.

Terdahulu, Mohd Zamri menjadi ahli panel pada Program Bengkel Astrofotografi bersama media anjuran Yayasan Angkasan Malaysia di Paya Indah Wetland.

Turut hadir dalam program tersebut, Angkasawan kedua negara, Mejar Dr Faiz Khaleed dan Yang Dipertua, Persatuan Falak Syarie Malaysia, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.

Sebelum ini, pada tahun 2007 buat julung kalinya Malaysia telah menghantar angkasawan pertama negara Dr Sheikh Muszaphar dengan kerjasama Rusia.

Hasilnya, pelbagai penyelidikan dapat dilaksanakan antaranya membabitkan sel kanser dan leukemia.

Mohd Zamri berkata, buat masa ini, pihaknya merancang meneruskan kerjasama dengan Rusia dan dalam masa sama sedang mempertimbangkan kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS), Perancis dan China.

Katanya, kerajaan juga sebelum ini telah meluluskan peruntukan sebanyak RM271.9 juta untuk program pembangunan satelit RazakSAT-2 yang merupakan satelit penderiaan jauh bagi memantau permukaan bumi.

“Manakala pada 2018 pula kita akan lancarkan RazakSAT-3 dan kedua-dua satelit ini mempunyai jangka hayat selama tujuh tahun,” katanya. YAM rangka kerjasama Ketua Pegawai Eksekutif YAM Rajini Ramlan berkata, bagi meneruskan misi ini , Yayasan Angkasawan Malaysia dan Angkasa turut bekerjasama pelbagai pihak dan juga media bagi memastikan penghantaran angkasawan kedua negara mencapai objektif diharapkan.

Katanya, YAM juga menganjurkan bengkel astronomi bersama media bagi mempertingkat pemahaman mereka berkaitan sains dan teknologi angkasa lepas.

“Cara ini juga mempertingkat kesedaran awam berkaitan dengan ilmu angkasa lepas yang dilihat mampu menyelesaikan sebahagian besar masalah bumi.

“Program angkasa lepas perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan hanya sekadar penghantaran angkasawan ke ISS sahaja,” katanya.

Sementara itu, Mejar Dr Faiz Khaleed bersedia memberikan yang terbaik sekiranya terpilih dihantar ke ISS.

Menurutnya, latihan yang disertai selama setahun sebelum ini berjaya melengkapkan dirinya dengan pelbagai ilmu agar dapat memberikan komitmen yang tinggi apabila berada di ISS kelak.

“Persiapan untuk ke ISS perlu diukur dalam beberapa aspek dinilai iaitu dari segi mental fizikal, akademik, kesihatan dan sebagainya.

“Saya sudah bersedia dan tidak menolak jika dihantar menyertai latihan tambahan, jadi sekarang terpulang kepada kerajaan untuk menyatakan persetujuan bagi melaksanakan misi tersebut,” katanya.

Faiz berkata, dengan keazaman yang tinggi beliau mampu untuk lakukan terbaik.

Mengulas mengenai kepentingan teknologi sains kepada pelajar, beliau berkata, ia adalah usaha yang baik dan sewajarnya diperluaskan dengan menarik lebih ramai penyertaan golongan muda bagi mengetahui apa itu angkasawan kepada pelajar sekolah serta universiti.

“Adalah usaha penting bagi memastikan kesedaran awam terhadap kepentingan sains angkasa dan pembentukan modal insan berasaskan sains, teknologi, inovasi dan pembangunan negara dapat dilaksanakan secara terancang, meluas, berkesan, dan berterusan,” katanya.

Teruja melihat cerapan cahaya

Wakil media yang menyertai bengkel teruja apabila dapat merasai pengalaman menarik yang tidak mungkin dapat dilihat dengan mata kasar.

“Kami berpeluang melihat cerapan cahaya yang melintasi Malaysia setiap dua minit pada jam 5 pagi.

“Di samping itu juga, kami dapat melihat sendiri penggerakan ISS dan satelit melintasi Malaysia pada waktu tersebut,” kata seorang wartawan akhbar tempatan.

Katanya, selain dapat melihat keindahan alam semula bengkel ini juga memberi satu keinginan kepada kita untuk mengetahui dengan lebih mendalam kehidupan di angkasa lepas.

“Dengan menggunakan teleskop kelihatan juga Planet Musytari,” katanya.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");