KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan kerja ke Brunei pada Ahad bagi menghadiri Rundingan Tahunan Pemimpin Ke-17 bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.
Sebelum rundingan tahunan dimulakan, Najib dan Sultan Hassanal Bolkiah akan merasmikan Jambatan Persahabatan yang menghubungkan Bahagian Limbang, Sarawak dan daerah Temburong, Brunei yang merupakan upacara bersejarah untuk kedua-dua negara, menurut kenyataan Wisma Putra di sini Jumaat.
“Kerja-kerja pembinaan jambatan itu telah dimulakan pada Mei 2012 dan merupakan satu lagi titik kejayaan penting yang bersejarah dalam hubungan cemerlang antara Malaysia-Brunei,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra dalam kenyataan itu, memaklumkan program lawatan ini juga akan merangkumi pemeteraian dua dokumen berkaitan kerjasama hidrokarbon dan pembangunan koperasi yang akan disaksikan pemimpin kedua-dua negara.
Najib diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, beberapa menteri kabinet, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman untuk lawatan kerja sehari itu.
Di sebelah malam Najib akan mengadakan pertemuan ’empat mata’ dengan Sultan Brunei, yang merupakan peluang terbaik utuk kedua-dua pemimpin itu menyusul perkembangan terkini pelaksanaan ‘Pertukaran Surat’ (Exchange of Letters) selain membincangkan inisiatif-inisiatif kerjasama baharu antara kedua-dua negara, menurut kenyataan itu.
Perbincangan antara kedua-dua pemimpin Malaysia dan Brunei itu juga dijangka menyentuh isu-isu serantau dan global yang menpunyai kepentingan bersama.
Kali terakhir rundingan tahunan itu diadakan ialah di Putrajaya pada 4 Sept tahun lepas.
– BERNAMA –