Sebahagian kanak-kanak yang selesai dikhatankan ditempatkan sementara waktu dalam masjid:-
IPOH – Pelbagai ragam 34 kanak-kanak dari Kampung Pasir Puteh yang menyertai majlis berkhatan beramai-ramai anjuran Kelab Rakan Muda Ipoh Timur di Masjid Al-Abidin di sini, baru-baru ini.
Ada kanak-kanak yang pada mulanya teruja berkhatan bersama rakan-rakan sekampungnya, tiba-tiba berasa takut sehingga memaksa ibunya memujuknya selama kira-kira 30 minit.
Selain itu, ada seorang nenek menangis sambil menenangkan cucunya berusia sembilan tahun yang menahan kesakitan selepas bersunat.
Program tersebut dimulakan dengan perarakan dan menyembur air kepada kanak-kanak terlibat yang dilakukan oleh pihak Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh.
Program berkenaan dirasmikan oleh Penaung Jawatankuasa Masjid, Datuk Zainal Abidin Abd Kadir.
Pengerusi Penganjur Program, Fairus Saidin berkata, program berkenaan dianjurkan bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk sekitar.
Katanya, ia juga menghidupkan tradisi dan budaya berkhatan yang menjadi amalan masyarakat Melayu sejak dulu lagi.
“Jika sekarang, ramai ibu bapa membawa anak mereka ke klinik untuk bersunat, tetapi kita menghidupkan kembali tradisi menjamu kanak-kanak dengan ayam golek dan berarak sambil membawa kanak-kanak di bahu bapa mereka.
“Kanak-kanak yang telah bersunat akan ditempatkan di masjid sebelum mereka dibawa pulang,” katanya.
– SINAR HARIAN