Sukan Hari Ini

Pemain lain boleh bergandingan dengan Peng Soon

SOON PENG

Pemain beregu campuran badminton negara Goh Liu Ying berkata beliau sedia memberi laluan kepada pemain lain untuk bergandingan dengan Chan Peng Soon bagi membolehkan pasangannya itu terus beraksi pada kejohanan badminton tempatan dan antarabangsa.

Liu Ying, 24, berkata beliau belum pasti akan menyertai Kejohanan Siri Super Terbuka Korea 2014 yang dijadual berlangsung dari 7 hingga 12 Januari depan berikutan kecederaan lama di bahagian kakinya kembali berulang.

“Saya tidak mahu disebabkan kecederaan yang melanda saya menyebabkan Peng Soon tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan selepas ini,” katanya.

Pemain berusia 24 itu berkata kecederaan berkenaan, yang dialami sejak 2008, disahkan bertambah parah selepas menjalani imbasan MRI di sebuah hospital swasta di sini hari ini, dan doktor pakar yang merawatnya meminta beliau menjalani rawatan dengan kadar segera, atau berdepan dengan risiko kecederaan lebih parah.

“Doktor mencadangkan supaya saya menjalani pembedahan di bahagian (otot) ‘meniscus’, yang mengambil masa selama empat bulan untuk pulih, ataupun pembedahan kecil di bahagian kaki, yang mengambil masa selama enam bulan untuk pulih.

“Saya akan mendapatkan nasihat daripada doktor di Institut Sukan Negara esok bagi menilai sejauh mana kecederaan saya,” katanya kepada pemberita pada Kejohanan Sirkit Kebangsaan Grand Prix Akhir Maybank 2013 di Kompleks Kejiranan Presint 11 hari ini.

Dalam pada itu, jurulatih beregu negara Jeremy Gan berkata beliau tidak mahu membuat keputusan terburu-buru berhubung penyertaan beregu campuran nombor enam dunia itu pada Terbuka Korea, sebaliknya akan mendapatkan nasihat daripada doktor yang merawat Liu Ying terlebih dahulu.

“Beliau boleh bermain namun kadang kala mengadu tidak selesa dengan bahagian kaki (kanannya) dan beliau bimbang kecederaan itu akan bertambah teruk jika terus beraksi selepas ini.

“Saya kira adalah lebih baik dapatkan nasihat daripada doktor yang merawatnya terlebih dahulu sebelum buat keputusan muktamad mengenai penyertaan mereka dalam Terbuka Korea nanti,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");