BANDAR SERI BEGAWAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kini berada di negara Brunei Darussalam bagi menghadiri Rundingan Tahunan Ke-17 dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.
Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dengan menaiki pesawat khas kira-kira jam 12.50 pagi Ahad.
Ketibaan beliau dan isteri disambut Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah mewakili kerajaan Brunei dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke negara Brunei Darussalam Datuk Awang Sahak Awang Salleh serta pegawai kementerian luar Malaysia.
Pagi ini, perdana menteri dan sultan Brunei dijadual menghadiri majlis perasmian Jambatan Perpaduan yang menghubungkan Bahagian Limbang, Sarawak dan Daerah Temburong, Brunei Darussalam.
Di sebelah malam pula, Najib dan Sultan Hassanal Bolkiah akan mengadakan pertemuan ’empat mata’ di Istana Nurul Iman serta menyaksikan pemeteraian dua dokumen dua hala berkaitan kerjasama dalam sektor hidrokarbon dan pembangunan koperasi.
Najib dan isteri serta anggota-anggota delegasi Malaysia akan turut diraikan dalam majlis makan malam di Istana Nurul Iman.
-BERNAMA