Politeknik Ungku Omar (PUO) sekali lagi terpilih menyertai Perodua Eco Challenge 2013 anjuran Perodua yang sudah masuk tahun kelima penganjurannya.
‘FACE’ iaitu singkatan Fashionably, Aerodynamic, Creative, Engineering 2013’ merupakan gabungan idea rekaan pelajar daripada politeknik premier itu yang merupakan satu-satunya daripada 34 politeknik di seluruh negara yang menyertai pertandingan tahun ini.
Menurut pengarahnya, Datuk Md Nor Yusof, POU telah berjaya menjadi juara keseluruhan selama tiga tahun berturut-turut, sekaligus menjadikan cabaran lebih besar buat peserta untuk mempertahankan kejuaraan tersebut pada tahun ini.
Katanya, pelbagai usaha terus dipertingkatkan dan semua pelajar dan kakitangan PUO telah memberi kerjasama yang cukup baik untuk mempertandingkan FACE 2013 di Stadium Shah Alam, hujung minggu ini.
“Kita telah memasuki fasa yang terakhir dan bakal menguji kemampuan FACE dalam pertandingan dan pasaran,” katanya.
Ujarnya, pelbagai pembaharuan telah dilaksanakan untuk mencapai prestasi yang diinginkan oleh Perodua bagi pertandingan kali ini.
Manakala menurut Pengurus projek, Fakhrul Razi Jamaluddin, seramai 15 pelajar daripada dua bidang pegajian iaitu kejuruteraan Mekanikal Automotif dan Perdagangan yang terdiri daripada lapan pelajar tahun akhir terlibat dalam penghasilan FACE 2013.
“Untuk pertandingan kali ini, pihak Perodua telah membekalkan komponen baru dan meminta peserta memasarkan produk tersebut dalam pasaran selain menjadikan kereta itu lebih menjimatkan minyak,” katanya.
Ujarnya lagi, penghasilan FACE 2013 telah memakan masa selama tiga bulan dan para pelajar menghabiskan masa selama empat jam setiap malam selepas sesi kuliah termasuklah hari Sabtu dan Ahad untuk menyiapkan projek tersebut.
“Tahun ini adalah lebih mencabar kerana penciptaan FACE 2013 memerlukan pengubahsuaian sebuah Perodua Myvi secara keseluruhannya dan yang paling utama ianya mementingkan elemen penjimatan minyak,” katanya.
Daripada sudut penjualan dan pemasaran penyelarasnya, Shamsuri Abdullah berkata, FACE 2013 mempunyai keseluruhan pakej tersendiri serta sasarannya pula adalah untuk golongan berkeluarga, pekerja kerajaan dan juga belia 1Malaysia.
Ujarnya lagi, semangat kerjasama yang sangat baik dan kombinasi bakat yang terserlah antara kelebihan yang dikenalpasti pada pertandingan tahun ini.
“FACE 2013 disasarkan dijual pada harga RM80,000 seunit untuk keseluruhan pakej yang disediakan,” katanya.
Sementara itu, sembilan institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) turut bertanding sama merebut kejuaraan tahun ini antaranya Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Teknikal Malaysia (UTM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Pihak pengurusan Perodua bagi tahun ini juga telah meningkatkan nilai hadiah keseluruhan kepada RM127,000 berbanding RM103,000 bagi tahun lepas.
Cabaran yang memasuki tahun kelima ini bertujuan untuk menguji pelajar dari institusi pengajian tinggi yang terpilih mengenai pengetahuan dan kemahiran mereka dalam bidang kejuruteraan automotif dan pemasaran.