Pernah dikatakan bercinta dengan pelakon Maya Karin, ternyata hubungan mereka sekadar teman baik. Barangkali sehingga kini hati pelakon kacak Remy Ishak, 31, belum dimiliki sesiapa.
Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak yang ditemui di lokasi penggambaran drama terbaru lakonannya, Jiwa arahan Kabir Bathia, baru-baru ini, bagaimanapun enggan mengulas lagi kisah percintaannya.
Katanya, tiada apa yang perlu dibicarakan mengenai cinta kerana fokus utama sekarang adalah pada karier lakonan. Menurut Remy, dia mahu peminat lebih mengetahui perkembangan kariernya berbanding cerita peribadi.
“Sekarang, saya takkan lagi memberi sebarang ulasan mengenai cinta. Pada saya, cukup-cukuplah dengan kisah cinta yang pernah disiarkan. Kini, masa untuk karier pula.
“Apapun, saya minta maaf kerana tidak mahu lagi mengulas lanjut mengenai hubungan cinta. Kini, saya perlukan peluang untuk peminat lebih menilai bakat lakonan yang dipersembahkan,” katanya.
Menurut Remy, dia nekad mengambil langkah untuk mengunci mulut daripada berbicara soal cintanya kerana sudah bosan serta rimas asyik diasak dengan pertanyaan sama.
Iskandar panas baran
Mengulas mengenai watak Iskandar lakonannya yang agak kasar dan panas baran dalam drama Jiwa, Remy berkata, kali ini Kabir memberi kepercayaan kepadanya melakonkan karakter lebih mencabar.
“Kalau sebelum ini, saya sering melakonkan watak lelaki romantik tetapi Jiwa cukup menguji kemampuan saya melakonkan watak antagonis yang agak berat.
“Apa yang berlaku dalam pembentukan sahsiah diri Iskandar semuanya berlaku sejak dia masih kanak-kanak. Sikap bapa yang tegas serta kurang memberikan kasih sayang, membuatkan Iskandar sentiasa memendam rasa.
“Jadi, membesar dalam suasana yang kurang sihat secara tidak langsung membawa Iskandar terjerumus kepada gejala negatif akibat tersalah pilih kawan. Oleh itu, drama Jiwa ini disifatkan cukup memberi cabaran besar,” katanya.
Komitmen pada jadual lakonan yang padat juga membuatkan Remy belum berpeluang untuk bercuti panjang. Katanya, kalau ada pun setakat ini cuti itu sekadar sehari.
“Apapun, pada saya sehari itu bukan cuti sepenuhnya kerana banyak perkara perlu diselesaikan. Oleh itu, apa yang boleh dikatakan sekarang saya belum ada masa untuk berehat.
“Namun, saya akan cuba juga mencari peluang untuk bercuti kerana ingin pulang ke kampung di Melaka untuk menziarah serta melepaskan rindu kepada ibu dan keluarga,” katanya.
Berbicara mengenai penangan watak Iskandar itu, Remy berkata, disebabkan Iskandar lebih banyak bergelut dengan babak aksi, dia demam beberapa hari akibat terlalu letih.
“Karakter Iskandar yang buas dan kasar memerlukan saya melakonkan banyak babak aksi seperti bergaduh dan bertumbuk. Apatah lagi, dalam drama ini juga saya terbabit dengan sukan Muay Thai.
“Ternyata drama Jiwa ini membawa kelainan pada sisi lakonan saya. Jadi,
semoga penonton boleh menerima dan dapat memberikan penilaian yang baik kepada mutu lakonan dipersembahkan,” katanya.
Turut berlakon bersamanya adalah pelakon seperti Faizal Hussein dan Kamal Adli.
-Metro