Pasir Mas: “Saya secara peribadi apabila dimaklumkan mengenai insiden itu, saya yakin mereka selamat. Mereka ini sudah melalui lebih separuh fasa latihan.
“Fizikal dan mental mereka kuat dan saya yakin mereka mampu ‘survive’ (terus hidup) sepanjang tempoh (hanyut di lautan) dan alhamdulillah, mereka sihat dan dapat menempuhnya,” kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin pada sidang media selepas bertemu dengan anggota Rejimen Sempadan yang terbabit dalam ‘Ops Murni’ membantu mangsa banjir di negeri ini di Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, di sini, semalam.
Beliau mengulas mengenai kejadian 13 anggota tentera termasuk 11 pelatih yang menjalani latihan untuk menjadi komando dikhuatiri lemas selepas bot mereka karam dilanda ombak di perairan Selat Melaka, berhampiran Klebang, Melaka, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, mereka ditemui selamat oleh orang awam di pesisiran Pantai Puteri, awal pagi semalam.
Menurut Zulkifeli, untuk menjadi komando bukan mudah kerana perlu melalui fasa latihan tertentu yang mencabar.
Katanya, insiden itu membabitkan anggota tentera yang mahu menjadi komando dan perlu melalui kursus asas komando selama tiga bulan.
“Kursus ini (untuk menjadi komando) ada fasa tertentu dan amat mencabar. Peratus kelulusannya hanya 30 peratus. Sebagai contoh, jika 100 pelatih, hanya 30 yang lulus.
“Satu fasa latihan yang perlu dilalui adalah latihan laut dan aktivitinya mendayung di laut,” katanya.
Zulkifeli berkata, insiden itu satu cabaran yang perlu dilalui oleh bakal komando.
Katanya, tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika latihan, namun pihaknya bersedia melakukan penambahbaikan jika diperlukan berbuat demikian terutama daripada aspek keselamatan.
“SOP tiada pelanggaran. Sekarang kami bawa mereka ke Hospital ATM di Kem Terendak, Melaka untuk pemeriksaan kesihatan, temubual apa yang mereka lalui,” katanya.
-Metro