Jenayah

‘Saya sedih, geram’

sedih geram

Alor Setar: “Arwah Nur Izzati beria-ia mahu mengambil gambar bersama anak saya dan memberitahu gambar itu akan disimpannya sebagai kenangan buat kali terakhir,” kata Jamilah Mohd Jusoh, 45.

Menurutnya, Allahyarham Nur Izzati Husna Rusdi, 12, ke rumahnya bersama kakak, Norsyafika Nadia, 14, di Kampung Gelam pada petang Jumaat lalu.

Jamilah berkata, dua beradik itu berbual-bual dengan anaknya, Nor Atikah Mohd Shukri, 11, hampir sejam sebelum pulang ke rumah mereka di Kampung Alor Semela pada jam 7.15 malam.

Menurutnya, dua beradik itu datang menunggang motosikal, tetapi ketika itu mereka tidak membawa bersama adik bongsu, Puteri Nur Akma, 3.

Katanya, kemungkinan besar dua remaja itu pulang ke rumah dan keluar semula bersama adik bongsu mereka selepas itu sebelum dilaporkan hilang pada malam kejadian.

Jamilah ditemui selepas menghadiri pengebumian jenazah dua beradik itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Semela, di sini, semalam.

“Sampai sekarang saya masih terbayang wajah kedua-duanya (Norsyafika Nadia dan Nur Izzati Husna), cuma pada hari kejadian saya nampak perubahan sikap mereka kerana lebih banyak mendiamkan diri berbanding biasa.

“Saya sedih dan geram dengan apa yang berlaku serta berharap polis menahan segera orang yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu,” katanya.

Nor Atikah pula berkata, dia sedih kehilangan dua rakannya itu dan menganggap mereka sebagai rakan yang amat baik.

“Saya masih teringatkan mereka sampai sekarang. Kali terakhir berjumpa arwah, Jumaat lalu dan ketika itu, Nur Izzati Husna mahu bergambar bersama saya,” katanya.

Sementara itu, suasana sedih menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Masjid As-Salam, Alor Semela, di sini, semalam, apabila kira-kira 200 penduduk termasuk keluarga dan saudara-mara menitiskan air mata ketika jenazah dua beradik itu diturunkan ke dalam satu liang lahad.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");