Membawang Hari Ini

Selamat Tinggal 2013

yuna

DIAM tak diam, kita menghampiri penghujung tahun 2013. Segala perancangan dan azam yang sudah terencana pada awal tahun barangkali sudah dilunaskan.

Tidak kurang juga ada yang membawa azam dan perancangan bagi tahun 2013, untuk dilaksanakan pada tahun 2014.

Tentunya, ada kenangan pahit dan manis kita sepanjang tahun ini untuk dikenang dan tidak juga dilupai terus.

Begitu juga dengan perjalanan industri seni yang penuh dengan warna-warni, pahit manis yang berlaku sepanjang 2013 ini.

Justeru, Zass mengimbau kembali segala yang berlaku sepanjang tahun 2013, yang berlaku di dalam industri seni.

Pahit manis industri seni

Tahun 2013 memperlihatkan industri seni bukan sahaja dilimpahi dengan kontroversi-kontroversi hangat daripada beberapa selebriti, bahkan permasalahan industri yang mula menjadi perhatian ramai.

Antara masalah yang dihadapi dalam industri tahun ini adalah kemerosotan kutipan filem yang serius, sikap berdiam diri Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dalam mengatasi masalah industri dan kebocoran filem terbitan Skop Production Sdn Bhd, KL Gangster 2, dua bulan lebih awal dari tarikh tayangan yang masih lagi belum dapat diambil tindakan lanjut.

Namun begitu, di dalam kepahitan yang dialami, kejayaan berterusan filem KIL, bukan sahaja dalam majlis anugerah industri tempatan, bahkan luar negara mula membuka mata ramai pihak mengenai hasil karya filem yang diterajui oleh Redza Mirhat dan Cristina Suzanne itu.

Ia sekali gus memperlihatkan hasil karya anak muda kita sudah mula boleh diterima, bukan sahaja di Malaysia, bahkan di luar negara.

Diharapkan dengan peruntukan kerajaan meneruskan bantuan kewangan sebanyak RM6 juta bagi Industri Seni tahun 2014 dapat membantu meningkatkan lagi industri seni kita.

Hafiz, Yuna, Shila menyerlah

Jika bercakap mengenai pencapaian selebriti tahun ini, ramai pasti bersetuju bahawa Yuna, Shila Amzah dan Hafiz Suip sebagai selebriti paling menyerlah pada tahun ini.

YUNALIS ZARAI

Pada awal tahun 2013, Yuna telah dilamar syarikat antarabangsa, Verve Music Group yang dipengerusikan komposer popular, David Foster.

Album baru Yuna, Nocturnal telah dilancarkan Oktober lalu di bawah label Verve Music Group.

Seterusnya Yuna turut berganding bahu bersama artis Amerika Syarikat, Owl City membawa lagu Shine Your Way.

Bukan sahaja hebat di persada antarabangsa dan di tanah air sendiri, lagunya; Lelaki baru sahaja memenangi kategori utama Lagu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke 20 baru-baru ini.

Selain itu kejayaan lagu ‘Terukir Di Bintang’ di Anugerah Juara Lagu ke 27 dan konsertnya yang julung kalinya diadakan di Istana Budaya turut disebut ramai.

SHILA AMZAH

Bukan sekadar hangat dengan kisah cintanya, Shila membuktikan karier seninya juga masih lagi menyinar.

Selain dari kerjaya seninya yang menyinar di Shanghai, China, Warner Music Malaysia secara rasmi mengumumkan kerjasama dengan Shila Amzah Entertainment Berhad yang beroperasi di Malaysia dan China.

Selain itu, Shila turut dicalonkan dalam tiga kategori dalam World Music Awards 2012/2013 – World’s Best Female Artist, World’s Best Entertainer of the Year 2013 dan World’s Best LIVE Act 2013.

Shila juga dianugerahkan Anugerah Kembara pada Anugerah Industri Muzik ke 20 tahun ini.

HAFIZ

Kemenangan Hafiz untuk tiga tahun berturut-turut bagi kategori Vokal Terbaik dalam Anugerah Juara Lagu (AJL), membuka mata banyak pihak.

Bahkan tahun ini memperlihatkan Hafiz mendominasi banyak anugerah-anugerah industri seni.

Selain itu, anak kelahirnan Kuching, Sarawak ini turut melancarkan album keduanya ‘Luahan Hati Anak Seni’ pada tahun ini. Single dari album tersebut – Bahagiamu Deritaku menjadi kegemaran dan siulan peminat.

Hafiz juga meraih gelaran Artis Serantau Paling Popular menewaskan nama-nama besar lain dalam Anugerah Planet Muzik (APM) 2013.

Terbaru lagunya Bahagiamu Deritaku tersenarai di antara 12 lagu yang akan bertarung di Anugerah Juara Lagu Ke 28 (AJL28) tahun depan.

Artis & politik

Selain daripada pencapaian dalam industri, tahun ini juga memperlihatkan ramai selebriti mula beralih ke dalam bidang politik.

Antara selebriti yang menceburi bidang politik secara serius adalah Abby Abadi, Hairi Othman, Bob Lokman, Dayangku Intan, Aisyah dan Herman Tino.

Bukan sekadar turun berkempen atau memberi ceramah dalam parti yang diwakili mereka, Dayangku Intan, Aisyah dan Herman Tino juga turut sama bertanding dalam Pilihan Raya baru-baru ini.

Ia sekali gus membuka mata ramai pihak bahawa golongan selebriti bukan sahaja tahu menghiburkan masyarakat, bahkan mampu menjadi suara untuk masyarakat.

CORAT CORET

Antara pahit manis yang berlaku dalam industri tahun 2013 adalah :

1. Siti Nurhaliza akhir membuat keputusan bertudung litup sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-34.

2. Penyanyi Korea Selatan, PSY, yang popular melalui klip video Gangnam Style di YouTube membuat persembahan di Pulau Pinang, bersempena Tahun Baru Cina, anjuran kerajaan Barisan Nasional (BN).

3. Pelakon Shaheizy Sam dinobatkan sebagai bintang paling popular 2012 dalam anugerah ABPBH2012, merampas kembali gelaran tersebut dari Aaron Aziz.

4. Setelah sekian lama ‘berehat’, penyanyi, Syura menjadi juara MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua, selepas bertarung dalam 40 episod dan bersaing dengan 18 selebriti lain.

5. Setelah beberapa kali ditangguhkan tayangan kerana bantahan sesetengah pihak, filem Tanda Putera akhirnya ditayangkan pada 29 Ogos. Namun semasa penayangan, filem ini sekali lagi menjadi perhatian setelah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bertindak mengarahkan agar filem ini disekat tayangannya di negeri itu kerana dikatakan mempunyai babak berbaur fitnah mengenai parti DAP ketika peristiwa bersejarah 13 Mei.

6. Filem terbitan KRU Studio, Vikingdom menerima kritikan pakar mitologi Karl Seigfred dari Chicago, yang tidak bersetuju KRU menggabungkan mitos dan sejarah.

7. Kalau dulu dia dikenali dengan imej lincah dan seksi, sejak kembali dari menunaikan haji Mizz Nina tampil dengan imej bertudung dan lebih sopan.

8. Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Mesyuarat Agung Seniman kali ke-14 yang telah diadakan pada 25 Mei tahun lalu adalah tidak sah dan terbatal. Keputusan itu secara langsung menjadikan Zed Zaidi bukan lagi Presiden persatuan itu.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");