Membawang Hari Ini

Sulaman kasih Jovian & Nina

jovian dan nina

Keindahan majlis pernikahan Jovian Mandagie dan Nina Sabrina Ismail Sabri yang berlangsung di Balai Rong Seri, Muzium Istana Negara, petang Rabu lalu bersamaan tarikh pilihan ramai 11/12/13, sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Daripada pemilihan lokasi, persalinan mempelai, dulang hantaran, dekorasi pelamin dan khemah cetusan idea Jovian yang dilaksanakan Flora Etc dan Nak Event, serba-serbi menyerlahkan kesempurnaan dan cita rasa tinggi Jovian selaku pereka fesyen terkenal dan pasangannya, Nina.

Bahkan, pasangan sepadan itu adalah pasangan mempelai yang pertama diberi kebenaran melangsungkan majlis perkahwinan di Balai Rong Seri, Muzium Istana Negara sebelum ia dibuka kepada umum pada Januari depan.

Sah bersatu sebagai suami isteri dengan sekali lafaz pada jam 5.40 petang, Jovian dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob sambil disaksikan Penolong Pendaftar Nikah Istana Negara, Ustaz Nik Riduan. Seutas gelang emas sebagai pemberian mas kahwin.

Ketika saksi mengesahkan lafaz pertama Jovian diterima, tetamu bertepuk disusuli aksi spontan pemuda kacak itu yang mengangkat kedua-dua tangan sebagai tanda kejayaan. Beberapa kali, dia berpaling ke arah wanita yang dicintainya itu sambil memberi isyarat ciuman.

Selepas kedua-duanya melafazkan ikrar, pasangan pengantin bersalaman serta berpelukan dengan ibu bapa masing-masing sambil berteriak kecil sehingga menyentuh perasaan hadirin, sekali gus mengubah suasana majlis menjadi sayu.

Hakikatnya bukan mudah buat ibu bapa terutama emak untuk melepaskan anak yang dikandung dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang menjadi tanggungan dan tanggungjawab orang lain. Barangkali itu, perasaan hiba menyelubungi Datin Muhaini Zainal Abidin, ibu Nina dan Silvana Salim, ibu Jovian.

“Suasana bertukar sebak kerana bukan mudah untuk ibu bapa melepaskan anak mereka selepas sekian lama membesarkan, apatah lagi, kami berdua anak sulung
dalam keluarga.

“Nina satu-satunya anak perempuan dalam keluarga sementara saya pula anak lelaki kesayangan ibu, jadi sudah tentu kedua-dua ibu kami berasa berat untuk melepaskan kami sekalipun amat bersyukur perkahwinan ini mendapat restu mereka.

“Saya amat bersyukur dan alhamdulillah kerana saat yang dinanti-nantikan untuk memperisterikan Nina terlaksana pada hari ini dan dia sudahpun menjadi milik saya yang sah. Kami sangat gembira kerana semua perancangan berjalan lancar dengan kehadiran tetamu yang cukup bermakna buat kami,” kata Jovian.

Mengimbas detik indah majlis pernikahan itu yang dihadiri ahli keluarga, tetamu VIP dan selebriti seperti Ning Baizura, Datuk Siti Nurhaliza, Lisa Surihani, Yusry termasuk Liyana Jasmay,

Jovian menyerahkan 11 dulang hantaran termasuk senaskah al-Quran manakala Nina membalasnya dengan 13 dulang hantaran kepada suaminya.

Semua hantaran disimpan dalam peti kayu khas dan ditutup rapat serta dihias indah. Sengaja pasangan mempelai enggan mendedahkan barang hantaran masing-masing kepada umum kerana bimbang disalah tafsir.

Berhubung destinasi bulan madu, pasangan ini merancang ke Turki dan Rom untuk menikmati saat romantis mereka, malah ketika ditanya jumlah anak yang mereka mahukan, Jovian menginginkan empat orang manakala Nina, cukup sekadar dua.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");