KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyaksikan penyerahan cek bernilai RM500,000 kepada Tabung Bencana NSTP oleh Malaysia Resources Corp Bhd (MRCB).
Sumbangan tersebut disampaikan di tapak pameran Kumpulan Media Prima Berhad di sini, yang mengambil bahagian dalam Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Cek itu disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan MRCB Datuk Mohamad Salim Fateh Din kepada Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) Datuk Abdul Jalil Hamid.
Mohamad Salim berkata sumbangan itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut bagi membantu golongan kurang bernasib baik.
“Untuk 2013 sehingga kini, MRCB telah mengeluarkan dana kira-kira RM2 juta bagi tujuan CSR ini yang turut meliputi program-program di beberapa buah sekolah di Malaysia dan memulihara alam sekitar,” katanya.
– Bernama