KUALA LUMPUR: Mangsa banjir di Terengganu semakin meningkat apabila seramai 15,146 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan pada jam 11 malam berbanding 14,362 jam 8 malam tadi manakala keadaan banjir di Pahang dan Johor semakin reda dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan semakin berkurangan.
Di Terengganu, keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan lebat di beberapa daerah menyebabkan jumlah mangsa meningkat membabitkan 3,593 keluarga yang dipindahkan ke 72 pusat pemindahan.
Di Pahang, Keadaan banjir bertambah baik apabila jumlah mangsa ditempatkan di pusat pemindahan menurun mendadak malam tadi berbanding 30,790 orang, semalam.
Cuaca cerah beberapa hari kebelakangan ini menyebabkan air surut dan membolehkan majoriti mangsa di lapan daerah pulang ke rumah masing-masing untuk melakukan kerja pembersihan.
Sehingga jam 11 malam tadi, hanya 6,048 mangsa masih ditempatkan di 88 pusat pemindahan banjir di negeri ini.
Di Johor, mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan di Segamat semakin berkurangan dengan seramai 266 orang daripada 63 keluarga berada di enam pusat pemindahan jam11 malam tadi berbanding 273 orang daripada 64 keluarga semalam.
“Hujan renyai di kesemua kawasan terjejas itu dan keadaan ‘banjir termenung’ menyebabkan kesemua mangsa belum boleh pulang ke rumah masing-masing,” menurut jurucakap itu.
-Metro