NIBONG TEBAL – Kira-kira 50 penduduk Kampung Kuyung sudah tidak mampu bertahan berikutan terpaksa hidup dalam persekitaran yang tidak selesa dengan kewujudan kilang pembuatan polistirena dan bekas telur berhampiran yang beroperasi lebih 10 tahun lalu.
Penduduk mendakwa kilang yang jaraknya hanya kira-kira 300 meter dari kawasan perkampungan dipercayai menyebabkan mereka terpaksa menanggung derita akibat habuk dan asap.
Tinjauan mendapati, kilang terbabit bukan sahaja mengeluarkan asap tebal malah pembakaran sekam padi dan sawit turut menyebabkan habuk berterbangan dan menjejaskan kesihatan penduduk.
Penduduk, Sulaiman Seriff, 48, berkata, masalah ini sudah lama berlarutan namun bertambah buruk sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, pembakaran sekam padi dan sawit yang digunakan sebagai alternatif sumber kuasa menyebabkan habuk dan asap yang keluar mengotorkan tingkap dan lantai rumah.
“Debu hitam turut menyebabkan baju-baju yang disidai di ampaian menjadi kotor dalam tempoh singkat.
“Makanan terpaksa sentiasa ditutup dan kadangkala kami merasakan yang penduduk di sini terpaksa berkurung di dalam rumah kerana habuk berterbangan mengganggu rutin harian,” katanya kepada Sinar Harian.
Penduduk turut mendakwa debu berterbangan turut menyebabkan kanak-kanak mengalami penyakit kulit dan gatal-gatal.
Difahamkan, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) pernah mengadakan tinjauan di kawasan berkenaan bagi mengambil sampel air untuk kajian.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Simpang Tiga, Sharif Yaacob, 63, berkata, masalah itu sudah diusulkan kepada pemilik kilang sejak dua tahun lalu namun tiada jalan penyelesaian.
Katanya, setiap kali penduduk bersemuka melalui perjumpaan, pihak kilang hanya berjanji akan menyelesaikan masalah ini namun tidak ada tindakan yang diambil untuk menanganinya dan penduduk sudah muak kerana berhadapan dengan masalah sama setiap hari.
“Masalahnya, penduduk yang kulitnya sensitif bukan sahaja mengalami gatal-gatal malah debu turut menyesakkan pernafasan.
“Saya harap JAS turun padang dan membantu memantau aktiviti kilang ini untuk memastikan sama ada ia beroperasi mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.
-Sinar harian