Isu Panas

Tindakan Terhadap Pengamal Syiah Bukan Berdasarkan Individu Atau Parti Politik – Jamil Khir

jamil-khir-baharom5-jan5

Tindakan terhadap pengamal ajaran Syiah bukan berdasarkan individu atau parti politik tetapi kerana mereka telah bercanggah dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1996 telah memutuskan ajaran Syiah bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Sebab itu ulama meletakkan daripada sudut peraturan hukum tidak membenarkan untuk berpegang kepada mana-mana ajaran yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 di Dewan Negara pada Isnin.

Jamil Khir juga tidak menafikan pelancong dan pelajar warga Iran di negara ini agak ramai yang mungkin membawa masuk fahaman Syiah melalui aktiviti kebudayaan seperti sambutan Hari Karbala.

Namun, tidak semua pelancong dan pelajar warga Iran menyebarkan fahaman Syiah mereka kepada warga tempatan, dan ada juga antara mereka berfahaman Sunni, katanya.

“Meskipun begitu Jakim dan Jain (Jabatan Agama Islam Negeri) akan sentiasa memantau setiap aktiviti mereka,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir berkata sehingga kini terdapat 98 ajaran sesat di seluruh negara dan daripada jumlah itu sebanyak lima ajaran yang dikenal pasti masih aktif pada masa ini.

“Lima ajaran sesat yang masih aktif itu ialah Syiah, Al-Arqam/Rufaqa’/Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB), Pertubuhan Kerabat Raja Sakti (PKRS) iaitu penjenamaan semula dari Ajaran Azhar Wahab atau al-Mansur, Ajaran Tuhan Harun dan Ajaran Ilmu Makrifat Tok Kenali Pimpinan Haji Shaari bin Mohd Yusof,” katanya.

Katanya berdasarkan rekod, daripada 2007 hingga tahun lepas, pendakwaan bagi kes yang melibatkan ajaran sesat adalah sebanyak 442 kes di seluruh negara.

Persidangan dewan bersambung pada Selasa.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");