Sukan Hari Ini

Upacara Pembukaan Sukan SEA Myanmar Berlangsung Meriah

sukan sea

NAYPYITAW: Upacara pembukaan rasmi Sukan SEA ke-27 di Myanmar yang bertema ‘Hijau, Bersih dan Persahabatan’ dibuka secara meriah dan berwarna warni di Stadium Utama Wunna Theikdi, di sini, malam Rabu.

Ketibaan Presiden Myanmar, U Thein Sein dan isteri, Daw Khin Khin Win dan dif-dif kehormat termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di stadium disambut dengan percikan bunga api.

Sekumpulan besar kanak-kanak yang membentuk formasi angka bagi mengira detik sebelum bermulanya pembukaan rasmi memeriahkan lagi majlis berkenaan.

Penonton yang hadir dihiburkan dengan persembahan menarik daripada OrkestraMyanmar yang menggunakan alat muzik tradisional Myanmar iaitu ‘Harp’ dan’Xylophone’ disusuli dengan upacara menaikkan bendera rasmi temasya, benderaPersekutuan Sukan Asean (SGF) dan bendera Myanmar selaku tuan rumah oleh tenteraMyanmar.

Ia diikuti dengan perarakan masuk 11 kontinjen yang bertanding iaitu Brunei,Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste,Vietnam dan Myanmar.

Kontinjen Malaysia diketuai oleh Datuk Wira Amiruddin Embi serta pembawa Jalur Gemilang, Sazali Samad disertai sejumlah 70 atlet dan 57 pegawai segak memakai baju ‘Belang Harimau’ dan berseluar hitam.

Ia diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Presiden Myanmar sebelum percikan bunga api sekali lagi mewarnai sekitar stadium.

Acara berkenaan diteruskan dengan upacara pembacaan ikrar oleh atlet wushu Myanmar, Sandi Oo sebelum diikuti dengan larian membawa masuk obor temasya oleh bekas penjaga gol wanita Myanmar, Bago Tin Aung yang pernah beraksi pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand.

Panahan oleh pemanah kebangsaan Myanmar, Way Lin Tun ke dalam kawah obor menandakan temasya berkenaan dibuka dengan rasmi sehingga 22 Disember ini.

Ini merupakan kali ketiga Myanmar menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar yang melibatkan negara Asia Tenggara itu selepas 1961 dan 1969.

Kontinjen negara berjumlah 556 orang atlet menyertai 29 daripada 33 acara sukan yang dipertandingkan pada edisi kali ini dengan sasaran kutipan 40 pingat emas.

Sukan berkenaan ialah renang, olahraga, memanah, badminton, bola keranjang, snuker dan biliard, tinju, kenu, berbasikal, ekuestrian, bola sepak (termasuk futsal), golf, hoki, judo, karate, mendayung, sepak takraw (chinlone), perahu layar, menembak, ping pong, taekwondo, bola tampar, binabadan, catur, muay Thai, pencak silat, angkat berat dan petanque.

Malaysia tidak menyertai empat acara iaitu vovinam, perlumbaan perahu tradisional, gusti dan kempo.

Pencapaian terbaik Malaysia pada Sukan SEA di luar Kuala Lumpur ialah pada edisi 2007 di Korat, Thailand dengan kutipan 68 pingat emas, 52 perak dan 96 gangsa.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");