Membawang Hari Ini

12 filem tunggu tayangan

12 filem

Pasaran filem tempatan yang tidak menentu bukan penghalang buat Metrowealth International Group (MIG) untuk terus menerbitkan filem setiap tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif MIG, David Teo berkata, dalam kegawatan pasaran filem MIG masih berjaya mencatat kutipan tertinggi, sekali gus mendominasi kutipan filem Melayu.

“Kami mengakui memang kutipan filem tempatan ada turun dan naik tetapi kami masih mendapat sedikit keuntungan.

“Malah, daripada keseluruhan kutipan wajib tayang filem Melayu, MIG turut mengungguli kutipan dengan melebihi 31 peratus menerusi 17 filem yang ditayangkan sepanjang 2013.

“Filem yang mencatat kutipan tertinggi tahun lalu ialah Adnan Sempit 3, Minyak Dagu, Highland Tower dan Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang!,” katanya.

David ditemui pada majlis sambutan Tahun Baru Cina MIG bersama media dan kakitangan MIG di Seksyen 14, Shah Alam, baru-baru ini.

Tidak lengkap majlis pada malam itu tanpa disemarakkan dengan barisan artis popular iaitu Yana Samsudin, Shaheizy Sam, Nora Danish, Intan Ladyana, Pierre Andre, Diana Amir, Zalif Sidek, Azwan Kombos, Mikail Andre, Nina Iskandar, Shima Anuar dan ramai lagi.

Mengulas lanjut soal kutipan pada tahun lalu, kata David, pihaknya sudah berjaya mencapai sasaran sebanyak 100 filem pada 2013 sejak 13 tahun bertapak dalam industri perfileman tempatan.

“Setakat ini, sebanyak 88 judul filem yang sudah ditayangkan dan sebanyak 12 judul lagi menanti tarikh tayangan di pawagam pada tahun ini.

“Filem Muka Surat Cinta arahan Pierre Andre yang mula ditayangkan bermula 16 Januari lalu masih ditayangkan di pawagam ketika ini.

“Filem terbaru Jangan Pandang Belakang Boleh? arahan Ismail Bob Hasim bakal ditayangkan pada 31 Januari ini,” katanya.

Beralih pada filem baru pula, kata David, beberapa filem baru sudah siap dan menanti tarikh tayangan di pawagam.

“Antaranya, filem mandarin Glorifying Love arahan Lai Kim Koon, Awak Nak Kahwin Dengan Saya?, Pengantin Malam (Eyra Rahman).

“Selain itu, filem Lu, Gua..Bro?, Adnan Sempit Sawadikap (Ismail Bob Hasim); Nasi Kangkang, Kelibat (Hashim Rejab); Sniper, Kasut Ku Kusut (Pierre), Kitai (Azaromi),” katanya.

Sasar 200 filem hingga 2018

Selepas berjaya mencapai sasaran 100 filem pada tahun lalu, MIG juga tidak mahu menoleh ke belakang lagi dalam usaha menghasilkan lebih banyak filem berkualiti pada masa akan datang.

Menurut David, pihaknya juga mensasarkan sebanyak 200 filem yang akan diterbitkan sehingga penghujung 2018 sekali gus target 1000 filem pada masa depan.

“Walaupun ada pihak yang menganggap segelintir filem dihasilkan tidak berkualiti, ia tidak mematahkan semangat untuk terus berusaha memperbaiki kelemahan sedia ada.

“Pada masa sama, pihak kami juga akan terus berusaha menerbitkan filem yang lebih berkualiti selaras dengan perkembangan dan trend filem sekarang.

“Mengikut perancangan, sebanyak 20 judul filem baru lagi akan diterbitkan pada tahun ini,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");