Berita Hari Ini

9,487 pelajar baru MRSM daftar Februari ini

mrsm

KOTA BHARU – Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di negara ini bakal menerima 9,487 pelajar baharu tingkatan satu dan empat yang dijangka mendaftarkan diri bermula awal Februari nanti, tidak termasuk lebih 6,000 pelajar sedia ada.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa berkata, pendaftaran tersebut melibatkan 7,132 tempat disediakan kepada pelajar tingkatan satu, manakala 2,355 bagi pelajar tingkatan empat.

“Pada tahun ini, sebanyak 45 maktab disediakan untuk pelajar tingkatan satu di seluruh negara melibatkan 28 daripadanya menawarkan program biasa, manakala 14 lagi bagi Dwisijil dan tiga buah untuk program Ulul Albab.

“Bagi pelajar tingkatan empat, mereka akan ditempatkan di 46 buah MRSM di seluruh negara termasuk enam buah MRSM Program Khas Pendidikan (PKP),” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Borang Kemasukan kepada pelajar MRSM di Kampung Lubok Besar, Kok Lanas, di sini, semalam.

Annuar berkata, jumlah pengambilan pelajar baru itu tidak termasuk dengan 6,018 pelajar MRSM sedia ada yang akan mendaftar untuk tingkatan empat.

“Bagi pelajar tingkatan satu, mereka boleh menyemak status permohonan pada hari ini (semalam) bermula jam 10 pagi, manakala bagi pelajar tingkatan empat, keputusan boleh disemak pada 29 Januari ini.

“Pelajar tingkatan satu akan mula mendaftar di MRSM masing-masing pada 3 Februari ini kecuali di tiga tempat iaitu MRSM Pasir Tumboh, Kelantan, MRSM Grik, Perak dan MRSM Kuala Klawang, Negeri Sembilan yang akan bermula pada 10 Februari kerana ketiga-tiganya tidak mengambil pelajar tingkatan empat,” katanya.

Pada masa yang sama, Annuar berkata, pihaknya turut menyasarkan kira-kira 600 pelajar akan mendapat tajaan penuh Mara sehingga tingkatan lima.

“Sehingga kini, Mara menerima hampir 1,000 permohonan dan ia masih dalam penelitian bagi memilih pelajar yang layak ditaja sepenuhnya oleh Mara. Melalui program bantuan khas, pelajar terpilih akan menerima manfaat termasuk kelengkapan sekolah dan perbelanjaan harian kepada miskin yang cemerlang,” katanya.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");