Membawang Hari Ini

Berbulan madu bersama peminat

berbulan madu dgn peminat

Kesibukan menjalani aktiviti seni seperti berlakon dan me­nyanyi membuatkan Izzue Islam, 23, tidak mempunyai masa untuk bercuti bersama isteri.

Sejak berkahwin de­ngan Awin Nurin, 31, yang juga pengurusnya pada 2 Jun lalu, pelakon drama Sebenarnya Saya Isteri Dia ini mengakui belum berkesempatan berbulan madu bersama isteri.

Lantas peluang diberikan Pengarah Urusan syarikat pelancongan Safirgotravel, Muhamad Abd Latif (Che Mat) untuk bercuti bersama peminat di Hong Kong dan Macau, Izzue tidak berfikir panjang untuk bersetuju.

Terbang bersama 65 peminat pada 16 Disember lalu, pada mulanya sasaran peminat mengikuti rombongan itu hanya 40 orang tetapi sambutan menggalakkan menyebabkan ia menjadi lebih besar. Atas permintaan ramai, pe­nyertaan dibuka lagi sehingga 65 orang.

Izzue mengakui ia pengalaman pertama bercuti di dua tempat itu. Katanya, pelbagai kenangan manis dilalui sepanjang enam hari bersama peminat.
“Tambah pula bilangan yang mengikuti rombo­ngan itu ramai, saya harus bijak membahagikan masa untuk semua peminat supaya tidak ada yang berkecil hati.

“Peluang bercuti bersama peminat satu penghargaan buat saya apatah lagi dengan sambutan luar jangkaan benar-benar membuat saya teruja. Sebenarnya ada lagi yang mahu turut serta tetapi rasanya 65 itu sudah cukup ramai. Kalau tambah lagi nanti susah untuk uruskan. Saya sendiri risau nanti ada yang tidak terlayan,” katanya.

Rombongan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pagi 16 Disember lalu dan kembali pada petang 20 Disember. Sepanjang tiga hari di Hong Kong, rombongan melihat tempat-tempat menarik seperti Victoria Peak, Madame Tussaud, Muzium Teh dan Disneyland.

Kesempatan dua hari di Macau melawat gereja St Paul yang menjadi mercu tanda Macau serta berjalan-jalan ke Fisherman Wharf dan Venetian.

Kata Izzue, seronok dapat bermesra dengan peminat yang selama ini menyokong kerjaya seninya kerana ada antara mereka dari Terengganu dan Singapura.

“Saya cuba memberikan layanan sama rata kepada mereka. Bagaimanapun, sedikit terkilan kerana percutian itu terlalu singkat untuk me­ngenali dan dekat dengan rombongan peminat.

“Enam hari ini memang agak singkat untuk lebih mengenali semua tapi saya gunakan masa itu sebaik mungkin untuk sama-sama melakukan aktiviti.

“Saya terhibur melihat telatah lucu mereka. Ada yang datang satu keluarga, kawan, adik-beradik dan sepupu. Seronok sangat dapat bercuti dengan mereka,” katanya.

Penyanyi dan pelakon yang mula dikesan bakatnya menerusi filem 29 Februari itu berharap akan ada lagi kesempatan seperti ini untuk bersama-sama melancong bersama peminatnya.

Melihat keindahan Macau dan Hong Kong serta bersuka-ria di Disneyland, Izzue berkata dia menyimpan hasrat untuk kembali ke sana bagi menikmati kemeriahan tempat itu.

“Saya lebih menyukai Hong Kong kerana banyak tempat boleh dilawati. Percutian kali ini ada lagi tempat yang tidak sempat saya pergi seperti Ocean Park.

“Bukannya Macau tak menye­ronokkan tetapi kerana cuaca sangat sejuk hingga mencecah suhu lapan darjah Celsius. Tambah pula di sana banyak kasino. Tempat menarik cuma Venetian.

“Sempatlah menonton Dancing Dragon dan St. Paul Church. Ia bukan bangunan tapi seperti A-Famosa di Melaka yang hanya tinggal bahagian depan saja.

“Menarik juga di Venetian sebab ada Little Venice. Boleh naik sampan dan tukang kayuh nya­nyi-nyanyi hiburkan penumpang. Sangat cantik sebab bumbungnya direka seperti awan. Nampak macam betul,” katanya.

Untuk membeli-belah, pengunjung ke Ladies Market, menawarkan pelbagai reka bentuk pakaian, kasut mahupun buah tangan dijual dengan harga murah.

Sempat membeli ole-ole buat keluarga dan sahabat terdekat, Izzue membeli kasut but poto­ngan tinggi untuk diri sendiri.

Antara kenangan manis di sana ialah menaiki MTR dari Disneyland ke Ladies Market walaupun terpaksa menyelit di antara orang ramai yang sama-sama memenuhi pasar itu.

Izzue puas hati dengan pengurusan syarikat pelancong terutama mengenai makanan yang agak membimbangkannya sebelum bertolak.

Selepas pulang ke tanah air, Izzue kembali sibuk dengan kerjaya seni. Antaranya mempromosikan album pertama Forteen, Kita dan juga promosi filem terbaru lakonannya, Chikaro yang ditayangkan pada 26 Disember lalu serta Kami Histeria yang bakal berada di pawagam awal tahun depan.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");