Membawang Hari Ini

Contohi Ammar!

hassan

PERNIAGAAN merupakan cabang bidang yang utama dalam Islam, malah ia merupakan satu terminologi yang sering disebut dalam al-Quran.

Sejak zaman Rasulullah SAW lagi, bidang perniagaan menjadi cabang jana pendapatan yang paling terkenal.

Walaupun sibuk dengan urusan kerjaya, namun ia tidak menjadi halangan besar untuk Hassan menceburi bidang perniagaan.

Baru sahaja memperkenalkan butik pakaian di bawah label, Hassan Adli Boutique, pada awal Disember lalu, di Wangsa Melawati, akui Hassan, usaha dakwahnya menerusi pakaian itu turut membuahkan hasil.

Menurut Hassan, walaupun baru sebulan diperkenalkan, namun ia menunjukkan sambutan yang menggalakkan.

“Alhamdulillah, walaupun masih baharu tapi tetap ada pengunjung setiap hari. Ada di antara pelanggan yang datang daripada Brunei untuk melihat koleksi jubah yang ada.

“Selain jubah lelaki moden, kita juga menjual jubah muslimah dan telekung. Kebanyakan pelanggan terdiri daripada golongan muda dan ada juga ibu bapa yang mencari koleksi untuk anak-anak.

“Antara rekaan yang menjadi pilihan ialah jubah Iskandar Zulkarnain dan Wahbah Az-Zuhaily.Dari segi harga pula, ianya sangat berpatutan iaitu RM200 ke bawah,” katanya yang turut menyediakan jubah eksklusif, Az-Zamakhsyari, untuk pasangan pengantin.

Tambah Hassan, idea untuk menghasilkan rekaan jubah sendiri sudah lama tercetus dan dia pernah memakai jubah rekaannya sendiri ketika di bangku sekolah.

“Saya usahakan apa yang sama minat. Apabila melihat budaya masyarakat Islam di Arab Saudi yang suka berjubah, maka kenapa saya tidak membawanya di Malaysia.

“Sejak kecil lagi, saya suka lihat fesyen pakaian sehingga sanggup membeli majalah fesyen. Saya juga pernah reka jubah sendiri dan meminta kakak untuk menjahitnya.

“Tak sangka rupanya minat itu sampai ke hari ini dan menjadi kenyataan apabila mempunyai butik sendiri,” katanya lagi.

Jual coklat halal

Selain memasarkan koleksi jubah, Hassan juga bakal memperkenalkan produk terbaru di bawah jenama, Hassan Adli Chocolate.

Tambah Hassan, idea ini sudah lama tercetus memandangkan dia merupakan penggemar coklat.

Menurutnya, produk ini merupakan cabang perniagaan daripada syarikatnya, Oasis Kreatif selain Hassan Adli Boutique.

“Setiap kali saya melancong atau ke luar negara, saya akan membeli coklat untuk dibawa pulang. Tapi, kebanyakan coklat di pasaran bukanlah keluaran Muslim 100 peratus.

“Insya-ALLAH, fokus saya untuk coklat ini agar dapat dipasarkan di seluruh Malaysia khususnya dan dapat dieksport ke luar negara satu hari nanti.

“Inilah jawapannya mengapa saya memilih coklat sebagai produk perniagaan kerana ianya adalah minat dan keperluan,” katanya lagi.

Selain daripada perniagaan butik dan coklat, Hassan juga turut serta dalam program, Persada Oasis Travel & Tours Sdn Bhd.

“Selain daripada pakej umrah, kami juga menyediakan satu pakej, Kembara Bahasa di Bumi Yemen 2014,” katanya.

Bukan soal keuntungan

Walaupun cabang perniagaannya terbahagi kepada beberapa bahagian, namun setiap perniagaan itu bukan hanya bertitik tolakkan soal keuntungan semata-mata.

Menurutnya, walaupun keuntungan merupakan satu fokus utama dalam perniagaan, namun masih ada perkara lain yang perlu diberi keutamaan.
“Saya berpegang kepada sebuah hadis Nabi SAW, ‘peniaga yang jujur dan amanah akan ditempatkan bersama-sama para Nabi, Siddiqin dan para Syuhada’.

“Saya melihat kejayaan yang dimiliki Rasulullah SAW dan sahabat, Abd Rahman bin Auf yang sentiasa jujur dan amanah dalam perniagaan. Barulah beroleh keberkatan.

“Perlu tahu, apa yang kita miliki hari ini bukanlah milik kita, ia hanyalah pinjaman Allah SWT,” jelasnya.

Jelas Hassan lagi, keuntungan yang perolehi daripada hasil perniagaan tidak hanya digunakan untuk memenuhi kantung kewangan syarikatnya sahaja.

“Dalam perniagaan, kami bukan hanya berbicara mengenai keuntungan semata-mata.

“Sebelum ini, saya dan juga rakan kongsi tidak pernah bercerita mengenai perkara ini secara umum.

“Keuntungan yang diperolehi itu kami peruntukkan untuk memberi sumbangan kepada pusat pengajian dan kebajikan,” katanya.

Menggalas tugas sebagai bapa, suami, usahawan dan pendakwah, bukanlah satu tugas mudah kerana ianya terdiri daripada tanggungjawab yang berbeza.

Tidak dinafikan, kesibukan menguruskan kerjaya perlu mengorbankan sebahagian masa bersama keluarga.

Menurut Hassan, kadang kala, tuntutan kerja memaksa dirinya meninggalkan keluarga dua hingga tiga hari untuk memenuhi harapan masyarakat.

“Komitmen saya semakin bertambah dengan lahirnya, Hassan Adli Boutique. Tapi, dalam masa yang sama, saya tidak lupa bahawa saya masih ada keluarga termasuk ibu dan keluarga mertua yang perlu diberi perhatian.

“Alhamdulillah, isteri saya, Fardatul Ulfah, 27, sangat memahami. Sebulan sekali, saya perlu masukkan dalam jadual bulanan untuk pulang ke kampung halaman mahupun kampung isteri.

“Apabila berada di kampung, waktu itu sepenuhnya untuk keluarga. Sekali sekala, saya akan membawa anak dan isteri bercuti. Tidak perlu ke luar negara kerana di Malaysia juga banyak tempat yang boleh dikunjungi,” katanya yang turut membawa anak dan isteri ke tempat program.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");