Perak Hari Ini

Dua Murid SJKC Khai Meng Teruskan Persekolahan Seperti Biasa Hari Ini

PERAKTODAY3

Dua murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Meng, dekat Sungkai yang dihukum denda secara keterlaluan kerana gagal menyiapkan kerja sekolah meneruskan semula persekolahan mereka seperti biasa, hari ini.

Murid Tahun Empat, Muhammad Nasvinder Muhammad Amit, 10, tiba di sekolah kira-kira pukul 7.10 pagi, diikuti rakannya Mohd Izat Iqbal Mohd Harith yang tiba beberapa minit kemudian.

Mereka tiba di sekolah itu dengan ditemani ibu masing-masing iaitu Siti Aisha Hashim, 32, dan Yarnis Kasuma Dewi Zainal Aripin, 33.

Sementara itu, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula dilihat memasuki sekolah itu kira-kira jam 9. 45 pagi tadi.

Pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batang Padang tiba lebih awal iaitu sekitar jam 8.30 pagi.

Bercakap kepada para pemberita yang berada di luar pagar sekolah pada sesi rehat, Muhammad Nasvinder berkata, masih ada murid di sekolah itu yang mengejeknya sebagai lembu disebabkan hukuman denda yang dikenakan terhadapnya dan Mohd Izat Iqbal.

Dari riak wajahnya, Muhammad Nasvinder kelihatan lebih ceria kerana dapat meneruskan persekolahannya seperti biasa hari ini tetapi Mohd Izat Iqbal lebih berdiam diri dan sekadar tersenyum.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber Jabatan Pelajaran Negeri memaklumkan guru terbabit ditukar ke sebuah SJKC Hwa Min, dekat Temoh, berkuat-kuasa serta merta.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Somsak Din Keliaw pula menegaskan pihaknya tidak menerima sebarang maklumat guru tersebut menerima ugutan daripada mana-mana pihak berhubung insiden terbabit.

Beliau turut menasihatkan semua pihak agar tidak lagi memperbesar-besarkan isu terbabit kerana semuanya sudah selesai.

Pada Sabtu, seorang ibu mendakwa anaknya telah didenda secara melampau oleh seorang guru di sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina dekat Sungkai, baru-baru ini.

Pengadu, Yarnis Kasuma Zainal Abidin telah membuat satu laporan polis berhubung tindakan melampau guru tersebut terhadap anak lelakinya, Mohd Izat Iqbal Mohd Harith dan rakannya, Muhammad Nasvinder Mohd Amit atas alasan tidak menyiapkan kerja sekolah.

Guru terbabit didakwa memakaikan loceng di leher kedua-dua murid itu dan kemudiannya memaksa mereka memakan rumput pada ketika waktu rehat.

Menurut bapa saudara salah seorang murid terbabit, Muktasim Hashim, 28, berkata tindakan guru tersebut tidak berperikemanusiaan kerana sanggup memberi hukuman denda sedemikian rupa kepada anak muridnya.

“Empat murid melakukan kesalahan iaitu dua berbangsa Cina dan dua lagi murid Islam, iaitu Mohd Izat Iqbal dan Muhammad Nasvinder yang dihukum denda memakai loceng dan dipaksa makan rumput,” katanya.

Jelasnya, tindakan yang diambil pihak keluarga bukan atas dasar anti perkauman sebaliknya mahu memberi pengajaran kepada guru tersebut yang telah melanggar etika perguruan.

Biarpun pemohonan maaf telah dinyatakan oleh guru terbabit, namun bagi pihak keluarga murid, ia masih tidak mencukupi.

“Kita harap tindakan tegas diambil terhadap guru tersebut kerana kedua-dua murid terbabit berada dalam keadaan trauma ekoran kejadian itu,” katanya lagi sambil menegaskan laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Sungkai, petang semalam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");