Isu Panas

Guan Eng Pertahan Beli Mercedes-Benz

LGE_Merc

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mempertahankan keputusan majlis mesyuarat kerajaan negeri untuk membeli Mercedes-Benz S300L sebagai kereta rasmi beliau, yang menyebabkan kerajaan negeri menanggung kos RM300,000.

Lim berkata Mercedes itu dibeli selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri mempertimbangkan soal keselamatan pemimpin-pemimpin negeri.

Katanya kerajaan negeri turut mengambil kira kereta itu ditawarkan pada harga tersebut dan ia bernilai wang bagi pembelian jangka panjang.

“Kereta baharu itu lagipun bukan milik saya. Ia milik kerajaan negeri dan mungkin akan digunakan ketua menteri akan datang selepas saya,” katanya kepada pemberita semasa ditemui dalam majlis sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2014 Perbadanan Kemajuan Negeri Pulau Pinang di sini pada Khamis.

Beliau berkata mengikut rekod, penyelenggaraan kereta Mercedes untuk jangka panjang adalah lebih baik daripada Proton.

“Kami tidak akan mempertimbangkan pembelian Mercedes-Benz baharu sekiranya ia tidak dikecualikan cukai dan tidak diberikan potongan istimewa. Lagipun, saya sedia menerima kritikan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri pada awalnya mahu menggantikan semua kereta Proton Perdana yang lama dengan Mercedes daripada Toyota Camry.

“Tetapi kerajaan negeri tidak meneruskan perancangan awal kerana pembekal kereta yang ditemui tidak dapat memberikan jaminan akan mengambil balik semua kereta itu sekiranya pengecualian cukai tidak diluluskan,” katanya.

Beliau berkata kereta Toyota Camry 2.5 yang digunakannya sebelum ini akan diberikan kepada Timbalan Speaker, Maktar Shapee.

Berita mengenai Lim menggunakan kereta Mercedes yang baharu dalam tempoh singkat selepas 15 buah Toyota Camry dibekalkan kepada kerajaan negeri pada 31 Okt tahun lepas bagi kegunaan ketua menteri, timbalan-timbalannya dan anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri telah menjadi bualan hangat.

Dilaporkan Lim mula menggunakan Mercedes-Benz, yang dibeli dengan harga RM298,263.75, pada Isnin.

Harga sebenar Mercedes-Benz S300L dilaporkan RM657,218.

-BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");