Jenayah

Hukuman buat anak derhaka

padah anak derhaka

KUALA TERENGGANU – Gara-gara kehendaknya untuk mendapatkan wang RM500 tidak diendahkan, seorang penganggur mengugut mahu membunuh kedua orang tuanya, dalam kejadian di Kampung Padang Nanas, Mengabang Telipot, di sini.

Perbuatan biadab Arif Hilmi Mohamed @ Kamal Arifin, 32, menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, semalam.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi membuat keputusan itu selepas Arif Hilmi mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya, Adnan Salim, 62, dengan meminta wang RM500 dan mengugut mahu membunuh mangsa jika tidak memberikan wang diminta.

Arif Hilmi mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu pada 19 September lalu, jam 6 petang, di kediaman mereka.

Bagi kesalahan itu, dia dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun.

Selain itu, dia turut dijatuhi hukuman penjara tiga tahun lagi selepas mengaku bersalah telah mengugut ibu serta bapanya, Mohamed @ Kamal Arifin Abdullah, 75, bertujuan untuk menyebabkan kematian di kediaman mereka, pada 24 November lalu.

Dalam masa sama, dia turut mengaku bersalah telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap Mohd Ruwaidi Mohamad Zin; Hazrul Hizwan Mohd Ghazali; Ahmad Izuddin Mohd Rosli dan Hammizie Hamaran yang merupakan seorang anggota polis dengan niat hendak menakutkan mereka daripada menjalankan tugas.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan itu, Rozianti menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan turut memerintahkan ketiga-tiga hukuman berjalan berasingan.

Berdasarkan fakta kes, pada 19 September lalu, semasa ibunya berada di rumah bersendirian, Arif Hilmi telah meminta wang sebanyak RM500 dan mengugut jika enggan memberi wang, dia akan membunuh mangsa serta ahli keluarga lain.

Kerana takut, mangsa menghubungi anak perempuannya bernama Ainon yang datang menyerahkan wang RM300 kepada Arif Hilmi.

Bagaimanapun, keesokan harinya, Arif Hilmi telah menghubungi mangsa untuk meminta wang sebanyak RM200 lagi dan sekali lagi dia mengugut untuk membunuh mangsa jika gagal mengikut kehendaknya.

Bimbang keselamatan diri dan ahli keluarga lain, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis.

Arif Hilmi yang mengetahui dirinya diburu polis bertindak menyembunyikan diri, namun pada 24 November lalu, dia telah balik ke rumah dan sekali lagi mengamuk.

Semasa anggota polis hendak menangkapnya, Arif Hilmi telah memotong getah paip gas di dapur dan mengugut untuk meletupkan tong gas berkenaan sambil memegang pemetik api.

Selepas tindakan itu, Arif Hilmi yang memiliki 13 rekod jenayah lampau itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");