Membawang Hari Ini

IL Divo kembali ke Malaysia

il divo

Kumpulan IL Divo yang dianggotai empat lelaki multinasional kembali sekali lagi menemui peminat di Malaysia menerusi konsert di Resorts World Genting, Genting Highlands pada 14 dan 15 Mac depan.

Dianggotai jejaka tampan dari Perancis, Itali, Sepanyol dan Amerika Syarikat, penonton bakal dihiburkan dengan persembahan lagu daripada album baru Broadway berjudul A Musical Affair.

Bergenre pop opera, IL Divo dihidupkan dengan penyanyi berlatar klasikal, pop dan baritone iaitu Sebastien Izambard, Carlos Marin, David Miller serta Urs Buhler.

Album itu adalah inspirasi daripada persembahan Broadway dan mengumpulkan lagu daripada pementasan Phantom of the Opera, Carousel and West Side Story.
Selain itu, album berkenaan turut menampilkan lagu duet bersama Barbra Streisand, Kristin Chenoweth, Nicole Scherzinger, Heather Headley dan Michael Ball.

Bertemakan IL Divo A Musical Affair: The Greatest Songs Of Broadway Live, konsert itu berikutan kejayaan per-sembahan kumpulan berkenaan di Teater Marquis New York.

Penolong Naib Presiden Promosi dan Hiburan Resorts World Genting, Kevin Tann berkata, berlatarkan suasana pementasan Broadway, konsert itu pasti dikagumi penonton.

“Kami tidak sabar menyambut kedatangan kumpulan Il Divo membuat persembahan album Broadway pertama mereka di Resorts World Genting,” katanya.

Beliau berkata, konsert itu diyakini menarik lebih ramai pelancong dari negara jiran ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan persembahan kumpulan berkenaan.

Antara lagu yang bakal didendangkan pada malam konsert adalah Memory, Can You Feel The Love Tonight, Bring Him Home, Tonight dan Some Enchanted Evening.

IL Divo adalah kumpulan Crossover klasik pertama di industri muzik antarabangsa yang mencapai kejayaan besar dan menjual lebih 26 juta album di seluruh dunia.

Jualan tiket konsert IL Divo bermula hari ini dan dijual pada harga RM180, RM280, RM390, RM590, RM790 dan RM980.

Seramai 1,000 pembeli pertama berpeluang memperoleh 20 peratus diskaun untuk ahli Genting Rewards Card.

Maklumat lanjut boleh melayari laman web www.rwgenting.com atau menghubungi talian 03-2718 1118.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");