Membawang Hari Ini

Impian Soffi jadi hero tercapai

sofi

BARISAN karyawan yang terbabit dengan filem Gangster Rock teruja memulakan penggambaran filem tersebut sejak 11 Januari lalu.

SUDAH acap kali diberi peranan sebagai watak pembantu dalam filem-filem yang dibintanginya, kali ini impian Soffi Jikan untuk bergelar hero akhirnya menjadi kenyataan menerusi filem berjudul Gangster Rock.

Selain memegang watak utama dalam filem berkenaan, Soffi turut bertindak selaku pengarah dan penulis skrip untuk filem yang diterbitkan oleh YKS Film Maker Sdn. Bhd. itu.

“Sudah lama saya mengimpikan mahu memegang watak sebagai hero dan pernah mendapat tawaran sedemikian pada tahun 2011, cuma masa yang tidak mengizinkan kerana mempunyai komitmen lain.

“Menerusi filem Gangster Rock ini, ia merupakan satu penjenamaan terhadap diri saya sendiri yang sebelum ini sudah selalu diberikan watak-watak antagonis,” ujarnya ketika majlis pelancaran filem berkenaan di DME Cruise Mines Wellness, Serdang, Selangor baru-baru ini.

Bercerita lanjut tentang pembikinan filem sulung arahannya itu, Soffi memberitahu, skrip Gangster Rock sudah lama dihasilkannya sejak tahun 2010.

Kemudian, ketika bertemu dengan pelakon, Serina Redzuawan sewaktu sama-sama berlakon dalam sebuah drama bersiri tahun lalu, dia meluahkan hasratnya mengarah filem serta menceritakan tentang skrip filem yang dihasilkannya itu.

“Ia bukanlah sebuah filem rock yang sudah biasa ditonton kerana ceritanya berkisar tentang perjuangan artis-artis rock yang tertindas dan ingin membanteras kegiatan cetak rompak,” jelasnya.

Selain Soffi, pelakon yang turut menjayakan filem bergenre aksi komedi ini ialah Saiful Apek, Izara Aishah, Sharifah Amani, Aqasha, Syafie Naswip dan Namron.

Sementara itu, Serina selaku Penerbit Eksekutif YKS Film Maker berkata, ini merupakan kali pertama syarikat produksinya menerbitkan filem sepanjang lima tahun penubuhannya dengan seorang lagi rakan kongsi iaitu Yusof Kelana.

SOFFI JIKAN juga bakal muncul dengan album berjudul Kasi Sengat.

Lebih kerap menghasilkan produk-produk seperti drama bersiri dan telemovie, Serina menyatakan pelbagai cabaran yang harus dilalui, terutama sekali untuk mendapatkan keyakinan daripada rakan kongsinya itu.

“Apabila Soffi berjumpa dengan saya dan menceritakan tentang projek filem yang dihasilkannya itu, saya terus tertarik melihat keazaman dan kesungguhan yang ditunjukkannya.

“Cuma, bukan mudah untuk mendapatkan keyakinan daripada Yusof dan saya gembira apabila dia memberikan persetujuan, meskipun mengambil masa yang agak lama,” ujarnya.

Album sulung

Selain hasrat untuk memegang watak sebagai hero dalam filem akhirnya terlaksana, Soffi memberitahu, impiannya mahu bergelar seorang penyanyi turut direalisasikan menerusi album sulungnya yang akan dilancarkan pada bulan Mac ini.

Ujarnya, sejak kecil lagi dia sebenarnya telah menanam impian untuk menjadi seorang penyanyi berbanding pelakon dan dia dibesarkan dengan lagu-lagu rock.

“Sudah tentu saya cukup teruja untuk melancarkan album sulung solo pertama yang diberi judul Kasi Sengat di bawah label Edrie Hashim.

“Antara lagu-lagu yang terkandung di dalam album tersebut ialah Madu, Kasi Sengat, Raja Gunung Kertas, Adi Genius dan Batu Dalam Sepatu. Semua lagu itu merupakan hasil ciptaan saya sendiri,” ujarnya yang cukup menggemari lagu-lagu rock Melayu.

Menurut Soffi, selepas album berkenaan, dia akan terbabit pula dalam pembikinan album runut bunyi untuk filem Gangster Rock bersama beberapa orang pelakon seperti Khir Rahman, Aqasha dan Apek pada hujung tahun ini.

– KOSMO!

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");