Berita Hari Ini

Jangan sebar berita tidak tepat

hanafi

Hanafi (tiga, kiri) dan Abd Ghani (kiri) ketika membuat tinjaun ke atas harga barang di Pasir Mas:-

PASIR MAS – Tindakan sesetengah blogger dan pemilik akaun Facebook yang gemar menyebarkan berita kurang tepat mengenai kenaikan harga barang di pasaran boleh mengundang rasa kurang senang dalam kalangan pengguna.

Pengerusi Majlis Pengguna Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat berkata, perbuatan itu amat mengecewakan pihaknya kerana kebanyakan yang disebarkan kurang tepat.

“Bukan itu sahaja, tindakan tidak bertanggungjawab itu mewujudkan suasana panik kepada rakyat berhubung kenaikan harga barangan ini.

“Sedangkan kebanyakan penulis blog dan pemilik akaun Facebook ini tidak turun padang untuk membuat tinjauan harga barangan tetapi kenaikan itu dibuat secara andaian sahaja,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Terdahulu, beliau bersama beberapa kakitangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pasir Mas mengadakan tinjauan di Pasar Besar Pasir Mas selama dua jam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah PPDNKK, Ab Ghani Harun.

Hanafi berkata, sepanjang dua hari tinjauan harga dilakukan di Pasar Besar Pasir Mas, beliau dapati tiada sebarang kenaikan berlaku kecuali beberapa barangan seperti cili besar dan itu disebabkan oleh masalah bekalan yang terputus.

Beliau turut bertanya kepada peniaga mengenai isu itu dan mereka sendiri menafikan berlakunya kenaikan harga barangan sebagaimana yang digembar-gemburkan.

Beliau berkata, kebanyakan harga barangan naik disebabkan bekalan tidak mencukupi seperti ikan yang kurang bekalannya akibat cuaca buruk dan beberapa barangan lain disebabkan permintaan tinggi apabila tiba musim perayaan.

“Saya harap blogger terbabit turun ke pasar dan membuat tinjauan serta analisis adakah berlaku kenaikan atau tidak pada harga barangan.

“Melalui tinjauan ini barulah mereka boleh membuat laporan berdasarkan maklumat yang tepat dan bukannya dakwaan atau andaian semata-mata,” katanya.

Beliau berharap mereka tidak lagi menulis laporan kurang tepat berhubung isu kenaikan harga barang kerana khuatir ia akan menimbulkan kegelisahan rakyat.

Dalam perkembangan lain, Hanafi, yang juga Ketua Umno Bahagian berkata, pihaknya mewujudkan pasukan yang akan memantau harga barangan di pasaran sama ada berlaku kenaikan atau sebaliknya.

“Unit ini akan diketuai Pemuda Umno dan mereka melakukan tugasan dari semasa ke semasa demi memastikan nasib rakyat sentiasa terbela,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");