Jenayah

Kasanova lolos tahanan diberkas

kasanova

Kasanova lolos tahanan diberkas

Kuala Lumpur: Lelaki ‘kasanova’ yang hampir tiga bulan diburu selepas meloloskan diri dari tahanan polis di Mahkamah Sesyen, Georgetown, Pulau Pinang, akhirnya diberkas di Jalan Chow Kit, di sini, kelmarin.

K Prabaharan, 45, ditahan selepas sepasukan polis dari Bukit Aman, Daerah Dang Wangi dan Sentul, berjaya mengesannya hasil maklumat awam ketika berada di tepi Jalan Raja Laut, berhampiran restoran makanan segera pada jam 7.45 malam

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah, berkata suspek yang berdepan lebih 10 kes penipuan di Pulau Pinang, cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun dia terkepung dan dapat diberkas.

“Hasil siasatan, lelaki terbabit disahkan suspek yang diburu kerana mempunyai pelbagai kes menipu dan memperdayakan wanita dikenali dalam laman sosial Facebook dengan kata-kata manis termasuk berjanji berkahwin.

Menyamar ‘Datuk Seri’

“Berikutan itu, suspek yang turut menyamar sebagai ‘Datuk Seri’ dibawa semula ke Pulau Pinang, semalam, untuk tindakan susulan berhubung segala kes berkaitan dengannya,” katanya ketika dihubungi BH semalam.
Katanya, suspek yang berasal dari Taman Mas, Ipoh, Perak, itu turut dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung laporan mangsa di Ringlets, Cameron Highlands serta amat dikehendaki polis di Segamat, Sungai Petani dan Taiping.

Dalam kejadian 9 Oktober lalu, suspek yang turut menggunakan nama Shiva Nair, Dr Ragunathan Nair, Ragu dan Keeran Raj, melarikan diri ketika dibawa anggota pengiring dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands, ke Penjara Pulau Pinang.

Kes berlaku ketika seorang pegawai polis wanita menghubungi anggota pengiring dan mengarahkan suspek dibawa ke pejabatnya kerana mempunyai sebutan kes di Mahkamah Sesyen Georgetown.

Direman 3 hari

Ketika berada di pejabat pegawai terbabit, suspek yang masih bergari berjaya meloloskan diri, sebelum satu laporan polis mengenai kehilangannya dibuat selepas hampir dua jam usaha mengesannya gagal.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, dalam kenyataannya sebelum ini memberitahu pegawai polis terbabit kemudian ditahan dan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengenai kejadian suspek meloloskan diri mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan, Seksyen 224 kanun yang sama dan Seksyen 225(a).

Prabaharan ditahan 4 Januari tahun lalu di rumah sewanya di Bukit Gambir, selepas polis menerima aduan kegiatan seorang kasanova yang memperdaya lebih 20 wanita menerusi laman web sosial dan mengaut lebih RM500,000 sejak 2001.

Dia juga dikatakan menyamar sebagai doktor bagi memperdayakan semua wanita berkenaan dengan pelbagai janji manis termasuk untuk mengahwini mangsa.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");