Perak Hari Ini

Ketibaan Tahun Baru 2014 Disambut Meriah

PERAKTODAY4

Kira-kira 5,000 rakyat yang mewakili pelbagai kaum membanjiri Dataran Ipoh bagi meraikan ketibaan Tahun Baru 2014 yang disambut secara meriah, sebentar tadi.

Seawal jam 9 malam lagi, orang ramai mula membanjiri kawasan itu bagi meraikan sambutan itu yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Saarani Mohamad dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim.

Sementara itu juga, pertunjukan bunga api yang merupakan acara sinonim apabila  acara ambang tahun baru turut berlangsung tepat jam 12 tengah malam.

Orang ramai juga turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan nyanyian daripada artis-artis tempatan seperti Haziq Akademi Fantasia 4.

Pelbagai aktiviti menarik telah diatur sempena sambutan seperti persembahan kebudayaan, nyanyian, muzik dan bunga api bagi memeriahkan lagi sambutan kali ini.

Acara kemuncak bermula pada detik tengah malam apabila seluruh kawasan itu digegarkan dengan pertunjukan bunga api hingga menyebabkan mata terpegun melihatnya.

PERAKTODAY6

Nyanyian lagu kebangsaan dan bendera Malaysia dinaikkan sejurus selepas percikan bunga api serta nyanyian lagu Tahun Melawat Malaysia 2014 turut didendangkan.

Nolee Ashilin dalam ucapan ringkasnya berkata, sambutan sebegini cukup menggambarkan keceriaan dan keamanan negara.

“Sememangnya sambutan ambang tahun baru merupakan satu acara lazim yang disambut oleh setiap bangsa di negara ini.

“Keunikan yang sinonim sebegini mampu menjadikan toleransi sebagai teras perpaduan rakyat,” kata Nolee Ashilin lagi.

Ujarnya, tahun 2013 secara keseluruhannya telah berjalan tanpa insiden serius hasil kepercayaan dan sokongan padu daripada rakyat kepada kerajaan.

Jelasnya lagi, segala isu besar dan kecil dapat diselesaikan demi menjaga keharmonian yang dibina selama ini dan ia seharusnya terus dikekalkan.

Tegasnya, iktibar perlu diambil daripada negara lain yang kini dihambat dengan malapetaka seperti Filipina yang dilanda ribut taufan atau konflik ciptaan sendiri iaitu rusuhan seperti di Thailand kini yang rata-ratanya yang menjadi mangsanya ialah kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa.

Beliau menggesa agar semua pihak saling hormat-menghormati dan saling memahami antara satu sama lain kerana keamanan yang dimiliki sejak merdeka dahulu perlu terus dikekalkan.

“Tahun 2014 merupakan satu destinasi yang menanti banyak menuntut kita berusaha untuk mengekalkan keharmonian itu,” tambah Nolee Ashilin lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");