Membawang Hari Ini

Konsert debut Salamiah selepas 4 dekad

salamiahSETIAP penyanyi pasti mengimpikan sebuah persembahan berskala besar yang mampu menjadi platform dalam memperdengarkan lagu-lagu hit mereka secara langsung kepada para pendengar.

Bagaimanapun, masalah kesukaran mencari penaja dan keengganan peminat mengeluarkan duit untuk membeli tiket menjadi salah satu punca mengapa sesetengah artis veteran seperti sepi tanpa sebarang penganjuran konsert.

Penyanyi veteran, Salamiah Hassan, 63, turut tidak terkecuali.

Setelah berkecimpung dalam industri nyanyian selama lebih empat dekad, tahun 2014 bakal menyaksikan persembahan konsert pertamanya yang diterbitkan oleh penerbit dan pengarah, Raja Azmi.

“Bidang nyanyian merupakan darah daging saya. Menyanyi merupakan suatu perkara yang saya lakukan setiap hari sejak zaman muda lagi. Tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk mengadakan sebuah konsert.

“Justeru, setelah diberikan peluang seperti ini, saya akan melakukan sehabis baik demi memberikan persembahan yang berkualiti kepada para peminat,” ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar Pelancaran Konsert Gelombang Salamiah Hassan di Hotel DoubleTree by Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai idea penghasilan konsert itu, Salamiah berkata, Raja Azmi merupakan individu yang bertanggungjawab dalam memberikan dorongan dan galakan kepadanya untuk menjayakan konsert tersebut.

“Sejak mengenalinya menerusi rancangan realiti masakan Selebriti MasterChef Malaysia musim pertama kira-kira dua tahun yang lalu, hubungan saya dan dia semakin rapat. Bagi saya, dia sudah saya anggap seperti adik sendiri.

?Sewaktu dia mengajukan idea untuk menerbitkan konsert ini, saya agak terkejut. Saya memberitahu Raja Azmi, saya bukan artis bertaraf diva yang memerlukan konsert setiap tahun.

“Setelah dipujuk beberapa kali, akhirnya saya bersetuju,” kata Salamiah yang menyifatkan ia sebagai hadiah paling bermakna buatnya daripada Raja Azmi.

Medley dan jingle

Salamiah pernah dikenali sebagai Ratu Jingles suatu ketika dahulu. Selain menyanyi di kelab-kelab malam, dia turut mencuri tumpuan penonton dengan menyanyikan lagu-lagu iklan bagi siaran televisyen tempatan.

Menurutnya, sepanjang konsert itu berlangsung, dia bakal membawakan lagu-lagu popularnya, lagu bahasa Inggeris serta medley jingle yang pernah dirakamnya dahulu.

“Konsert itu nanti akan dibahagikan kepada empat segmen. Secara keseluruhan, saya menyanyikan sebanyak 25 buah lagu. Antara lagu-lagu yang akan dipersembahkan termasuklah Menghitung Hari, Gelombang, Cita-Citaku, Aku Curiga dan Semut Semut Di Titian Usang.

“Selain itu, saya akan menyanyikan lagu-lagu jingle yang pernah mengiringi beberapa iklan televisyen tempatan puluhan tahun dulu,” ujarnya yang turut akan memperdengarkan lagu baharu berjudul Aku.

Diarahkan oleh Pat Ibrahim, Konsert Gelombang Salamiah Hassan akan berlangsung pada 10 hingga 12 Januari 2014 di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Tiket berharga RM80 hingga RM350 boleh didapati di www.ticket2u.biz.

Jaga kesihatan

Menurut ibu kepada penyanyi jazz Atilia ini, penjagaan kesihatan merupakan perkara utama dalam kehidupannya sejak dulu lagi. Lebih-lebih lagi ketika menghadapi sesi latihan nyanyian bagi menyiapkan diri untuk konsert yang bakal berlangsung pada 10 Januari ini.

“Saya tidak merokok dan tidak suka orang yang merokok. Itu merupakan salah satu perkara yang saya elak ketika menyanyi di kelab malam dulu.

“Untuk memberikan tenaga yang berpanjangan, saya mengamalkan pengambilan suplemen tambahan serta multivitamin. Ia sangat membantu dan memudahkan perjalanan kerjaya saya setiap hari,” ujarnya.

Dalam pada itu, Salamiah bakal hadir dengan sebuah album baharu yang menampilkan lima buah lagu Melayu lama yang diberi sentuhan berbeza oleh produser terkenal, Aubrey Suwito.

“Album itu mengandungi lima lagu malar hijau seperti Bintang Malam, Malam Bulan Dipagar Bintang, Nak Dara Rindu, Mahligai Kayangan Boleh Dilihat Dipegang Jangan dan Aku.

“Lagu Aku sungguh istimewa. Judul asalnya ialah Cahaya tetapi setelah membaca lirik lagu tersebut, ia sangat mencerminkan kisah hidup saya sebelum ini.

“Lalu, saya mengambil keputusan untuk menggubahnya kepada Aku,” kata Salamiah yang turut menampilkan Atilia pada malam persembahan itu nanti.

– KOSMO!

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");