Berita Hari Ini

Kos Hidup Yang Lebih Tinggi Pada 2014 Satu Cabaran – MP Titiwangsa

johari

PETALING JAYA: Bergelut dengan kos hidup yang lebih tinggi akan menjadi satu cabaran bagi purata rakyat Malaysia pada 2014, kata Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani.

Ahli Parlimen Umno ini membayangkan bahawa beberapa kelompok masyarakat akan mendapati sukar untuk mereka menampung kenaikan harga yang diumumkan baru-baru ini yang datang pada masa yang sama.

“Mereka tidak mempunyai pendapatan tambahan bagi menampung kenaikan ini dan ini akan menjadi satu cabaran yang besar.

“Ada orang yang tidak akan dapat menyesuaikan diri dengan kenaikan ini,” katanya kepada ‘The Star Online’ apabila ditanya mengenai keadaan ini dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Johari menambah ketika berdepan kenaikan kos yang turut berlaku di tempat lain di seluruh dunia, isu yang timbul ialah bagaimana untuk menguruskan mereka.

“Sebahagian daripadanya berkaitan dengan dasar kerajaan,” katanya.

Kerajaan telah mengurangkan subsidi bahan api manakala tarif elektrik naik sebanyak 15 peratus pada bulan Januari.

Kenaikan tol juga dijangka, begitu juga cukai taksiran dan pengangkutan awam berasaskan kereta api.

Johari berkata walaupun kenaikan harga adalah perlu untuk perkembangan ekonomi, kenaikan boleh disebarkan dalam tempoh yang lebih lama.

Dalam isu kenaikan penilaian hartanah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang membawa kepada jumlah penilaian lebih tinggi, beliau berkata: “Ia tidak bermakna jika anda tidak menaikkan kadar itu selama 21 tahun, anda boleh menaikkannya sehingga 300 peratus. Mengapa tidak melakukannya secara beransur-ansur?.”

Sebaliknya, beliau berkata, DBKL harus ‘terlebih dahulu’ berdepan orang ramai dan memberitahu mereka bagaimana dana tambahan akan dibelanjakan.

Beliau percaya orang ramai akan memahami keperluan dana untuk mengekalkan keharmonian bandar dan perlunya sebuah ketelusan.

Dalam aspek sosial, Johari berharap rakyat Malaysia akan terus hidup dalam suasana harmoni dalam semua aspek agama, bangsa dan politik.

“Kita perlu mampu menyesuaikan diri dengan perbezaan di kalangan rakyat Malaysia dengan fikiran yang terbuka dan menghargai politik semasa,” katanya.

Beliau berkata adalah penting mengekalkan kestabilan politik sedia ada supaya tidak memberi kesan kepada keyakinan pelabur di negara ini.

“Tidak ada kerajaan yang sempurna di mana sahaja di dunia tetapi kita perlu memastikan bahawa apa yang berlaku di Thailand tidak berlaku di sini,” katanya merujuk kepada kemelut politik yang tidak berkesudahan di Bangkok.

“Kita boleh menyatakan perbezaan pandangan tetapi kita perlu melindungi keharmonian di negara ini,” katanya sambil menambah rakyat memainkan peranan yang besar dalam aspek ini.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");