Berita Hari Ini

Parlimen Ketereh jadi pusat koridor ilmu

annuar musa

KOTA BHARU – Parlimen Ketereh akan dibangunkan menjadi sebuah pusat koridor ilmu, kata Ketua Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, cadangan untuk menjadikan parlimen itu sebagai pusat perkembangan ilmu sejajar dengan keperluan pendidikan semasa yang semakin meningkat.

“Beberapa institusi pengajian akan dibangunkan tidak lama lagi di sini antaranya Kolej Ulul Albab di kawasan Dun Kok Lanas, Pusat GiatMara Prima di Dun Melor dan Kolej Mara di Dun Kadok,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Politeknik Kota Baharu (PKB) Sport Festival 2014 di sini, semalam.

Annuar yang juga Pengerusi Mara berkata, pembinaan Kolej Ulul Albab dianggar melibatkan peruntukan sebanyak RM40 juta manakala Pusat GiatMara Prima dijangka sebanyak RM10 juta.

“Kami juga memerlukan penambahan beberapa sekolah menengah antaranya masing-masing sebuah sekolah menengah di Kok Lanas dan Ketereh bagi menampung penambahan penduduk,” katanya.

Annuar berkata, Ketereh akan dijadikan pusat perhubungan bagi perkhidmatan pengangkutan awam bas Mara Liner untuk penduduk setempat.

“Mara Liner akan menyediakan perkhidmatan bas di kawasan Ketereh sehingga Machang serta beberapa laluan di sekitarnya dan ia juga melibatkan beberapa kawasan tumpuan seperti Kem Desa Pahlawan dan Politeknik untuk kemudahan orang ramai,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");