Berita Hari Ini

Pemborong tidak terlepas

hasan malek

SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memastikan Ops Harga 2.0 tidak akan berkompromi dan akan mengenakan tindakan undang-undang kepada pembekal dan pemborong jika didapati menaikkan harga barangan.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, KPDNKK akan terus mengambil tindakan mahkamah tanpa sebarang kompaun jika terdapat bukti pembekal dan pemborong terlibat kesalahan.

Menurutnya, itu adalah hukuman setimpal kepada mana-mana pihak kerana ‘orang tengah’ ini antara pihak yang sering menjadi medium kenaikan harga barang.

“Kita bukan sahaja mengambil tindakan kepada peniaga kecil, malah hingga ke akar umbi. Seramai 1,800 pegawai penguat kuasa dan 1,100 pegawai pemantau harga memberi tumpuan kepada tiga perkara iaitu penandaan harga, pengeluaran notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan serta memeriksa alat timbang dan sukatan berterusan bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan termasuk barangan kawalan.

“Sejak dilancarkan Isnin lalu, Ops Harga 2.0 telah membantu banyak pihak khususnya pengguna daripada menanggung beban kenaikan harga barang daripada pihak tidak bertanggungjawab,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, menerusi pemantauan yang berterusan mendapati terdapat penurunan jumlah kes dan notis yang dikeluarkan pada hari ketiga operasi.

“Sebanyak 9,124 premis perniagaan diperiksa di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 96 kes telah diambil tindakan manakala dua notis dikeluarkan, melibatkan nilai rampasan RM48,402.41.

“Dua notis yang dikeluarkan itu ialah di Pahang dan Wilayah Persekutuan Labuan. Daripada 96 kes itu, 65 kes adalah di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatuan 2011, 29 kes Akta Timbang dan Sukat 1972 dan dua kes Akta Perlindungan Pengguna 1999,” katanya.

Hasan berkata, pasar basah terus menjadi lokasi utama pemeriksaan apabila 3,735 pasar basah diperiksa diikuti pasar malam atau pasar tamu (2,061), pasar tani (1,572), kedai runcit (857), gerai makan (203) dan kedai makan (181).

“Pemantauan dan pemeriksaan turut meliputi pasar mini (148), restoran (141) dan medan selera (128), hentian rehat dan rawat (R&R) (lapan), pasar raya (47), pasar raya besar (18), pemborong (24) dan pengeluar (satu),” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");