Membawang Hari Ini

Penghidup filem parodi pertama

zalif

Filem parodi kebiasaannya akan membariskan pelakon baru meskipun dari segi jalan cerita hingga ke set yang digunakan seakan sama filem asal.

Namanya pun parodi maka ia perlu menonjolkan sesuatu yang lain daripada plot asal dan paling penting pelakonnya. Watak yang disamakan dengan pelakon asal cuma perlu meniru sedikit karakter berkenaan dan tampil dengan warna lain.

Bagaimanapun, dalam filem sulung parodi tempatan arahan pengarah Ismail Hashim atau Bob berjudul Jangan Pandang Belakang Boleh?, dia sebaliknya mengekalkan watak Ruminah Sidek atau Mak Mah.

Berdasarkan filem asal yang diterajui Pierre Andre dan Intan Ladyana, apapun impak terbesarnya hanya terasa apabila babak lucu Mak Mah lebih jadi perbualan menerusi karya asal Ahmad Idham pada 2007.

Diterbitkan Metrowealth Pictures atau MIG, hidupnya babak membabitkan pelakon veteran berkenaan menjadikan filem itu masih diingati sehingga sekarang dan pasti menggamit semula kenangan penonton menerusi Jangan Pandang Belakang Boleh?

Sama ada sebagai memancing penonton ataupun tiada yang mampu menjayakan watak berkenaan selain Mak Mah, Bob me­ngakui dia memang sengaja khaskan watak itu hanya buat pelakon lama itu.

Apalagi katanya, sudah banyak kali bekerjasama dengan aktres itu membuatkan kepercayaannya tidak pernah putus bukan saja terhadap kesungguhan Mak Mah malah kehadirannya adalah penghidup sebenar filem itu.

“Meskipun ini filem parodi, istimewanya kemunculan semula Mak Mah adalah antara tarikan utama Ja­ngan Pandang Belakang Boleh? kerana melihat kepada kejayaan wataknya sebelum ini pasti masih diingati penonton.

“Namun itu bukan pe­nyebab utama saya mengambilnya berlakon, tapi lebih kepada kepercayaan saya terhadap hasil kerja ditonjolkannya. Baik di dalam skrin, sewaktu penggambaran berehat, beliau adalah antara individu yang sangat penting dalam menghidupkan sesuatu keadaan.

“Padahal, beliau cuma ada dalam tiga hingga empat babak saja tapi untung
buat pelakon lain. Beliaulah yang memberi panduan, tunjuk ajar serta sema­ngat kepada pelakon lain untuk beraksi cemerlang,” katanya.

Bukan pilih kasih atau apa, menurut Bob, bekerja dengan Mak Mah memberikannya satu kehormatan apabila dia sendiri dapat belajar pelbagai perkara serta mendengar cerita pelakon berpengalaman lama itu.

Paling menyentuh hatinya adalah kesungguhan yang ditunjukkan pelakon itu datang ke set peng­gambaran dan meskipun sudah layak untuk berlagak diva, tidak sekalipun Mak Mah bersikap sedemikian.

“Beliaulah antara pelakon yang benar-benar membuatkan saya rasa sentiasa merendah diri kerana Mak Mah tidak kisah datang ke set penggambaran
dengan menaiki bas.

“Tapi yang paling membuat saya dan keseluruhan produksi sendiri tersentuh adalah tenaga ditunjukkan beliau sewaktu penggambaran adalah luar biasa tidak sepadan dengan umurnya 68 tahun.

“Caranya tersendiri dan tahap profesionalnya sa­ngat mengagumkan terutama apabila diberi skrip, beliau hanya perlu membacanya sekejap tapi hasil ditunjukkannya memang terbaik,” kata­nya mengulas pemilihan itu.

Sekadar untuk eksperimen, Bob mengakui tidak banyak cabaran dilaluinya namun untuk membentuk serta mewarnakan karakter pelakon selaras dengan elemen parodi memerlukan sedikit masa.

“Hampir semua babak sama dengan filem asal cuma lokasi penggambarannya saja berubah tapi masih daripada segi geografi ada persamaan. Saya lebih fokuskan kepada mengolah cerita berkenaan jadi lebih kelakar tanpa mengacau elemen seram itu sendiri.

“Tidak mahu terikat sa­ngat kepada watak asal, begitu juga saya bentukkan pelakon yang terbabit agar tampil dengan warna sendiri selaras dengan konsep parodi itu sendiri,” katanya.

Zalif ditampar Mak Mah

Menjadi peneraju utama filem terbabit selain Shima Anuar, Adibah Yunus dan Epy Kodiang, Zalif Sidek yang melakonkan watak Dharma pula menceritakan bagaimana pengalaman­nya ditampar Mak Mah.

Bukan kerana kurang ajar atau apa, tapi pertama kali digandingkan dengan pelakon hebat itu membuatkannya gemuruh sehingga tidak dapat mengawal perasaan itu sendiri di lokasi penggambaran.

“Saya masih ingat lagi babak berkenaan di mana Mak Mah tiba-tiba menampar saya kerana gagal melunaskan babak itu dengan bagus. Bagaimanapun, perkara itulah sebenarnya yang merapatkan saya dengannya dan mendapat tunjuk ajar daripadanya menaikkan lagi semangat saya.

“Menyaksikan sendiri bagaimana spontan beliau melunaskan babak-babaknya dengan berkesan dan tampil dengan kreativiti sendiri jauh daripada skrip asal, saya
merasa sangat kerdil digandingkan bersamanya,” katanya yang me­ngakui sangat rapat malah Mak Mah menangis sebaik tamat penggambaran filem itu.

Menjadi lelaki lembut pasti bukan mudah buat Zalif, namun itulah karakter perlu dijayakannya. Tidak ambil mudah, menurutnya banyak juga perlu dipelajarinya demi pastikan watak itu berhasil.

“Perwatakannya memang lembut, namun dia bukanlah lelaki homoseksual. Jadi dalam lembut itu saya masih perlu tonjolkan sisi maskulin terutamanya pada reaksi kerana hakikatnya gerak-geri saja yang harus kelihatan lembut,” katanya.

Jangan Pandang Belakang Boleh? yang bakal memasuki pawagam pada 31 Januari ini mengisahkan kehidupan Dharma mula dihantui pelbagai perkara seram sebaik kematian tunangnya Rose (Adibah).

Pada masa sama, rakannya Seri (Shima) dan Indra (Epy) pula tidak percayakan cerita Dharma malah menuduhnya jadi penyebab kepada kematian Rose.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");