Jenayah

Pensyarah dipenjara sehari

pesyarah dipenjara

Mengaku terima suapan RM690 daripada dua pelajar

Ipoh: Seorang pensyarah Institut Teknologi Perak (ITP) di sini, dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini, semalam, selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan menerima wang suapan RM690 daripada dua penuntutnya, tiga tahun lalu.

Pensyarah di Jabatan Matematik dan Statistik ITP, Wong Chee Wai, 42, dari Taman Indah Jaya di sini, menukar pengakuan kepada bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah pada prosiding sebutan kesnya, semalam.

Pada 31 Oktober lalu, dia mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu dan didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda jumlah suapan, mana yang lebih tinggi.

Tertuduh yang turut mendapat rawatan di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan
kerana mengalami gangguan perasaan sejak kes itu dibicarakan, didapati bersalah menerima suapan RM690 daripada dua pelajarnya sebagai syarat untuk menaikkan markah penilaian peratusan mata pelajaran (carry mark) bagi mata pelajaran Matematik dan Statistik.

Minta suapan RM140

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa meminta suapan RM140 daripada Nor Azmira Nor Mohamad bagi menaikkan markah penilaian untuk kertas DDS 2042 subjek Matematik IV, di Perpustakaan ITP, Bangunan Greentown Square di sini, pada jam 4.15 petang, 14 September 2011.
Susulan itu, tertuduh bersetuju menerima suapan RM140 daripada individu sama dan bagi tujuan sama di hadapan kelas CR410, Blok E ITP, pada jam 3 petang, 12 Oktober 2011.

Chee Wai juga menghadapi pertuduhan meminta dan menerima wang RM250 daripada Muhamad Faezrul Udaman bagi menaikkan markah penilaian subjek Statistik di pekarangan ruang tangga antara Blok C dan Blok D bangunan ITP, pada jam 4 petang, 10 Oktober 2011.

Tertuduh turut meminta suapan RM300 daripada Muhamad Faezrul bagi tujuan menaikkan markah penilaian subjek Matematik III, pada jam 10.30 pagi, 3 Februari 2012 di bilik CR410 Tingkat 3A, bangunan sama, dan didakwa menerima wang itu pada jam 2 petang, 8 Februari 2012 di pekarangan ruang tangga Blok C dan Blok D, bangunan itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A Hafiizh Abu Bakar, manakala tertuduh diwakili peguam M Kathan.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");