Berita Hari Ini

Perbelanjaan Dikurang, Sambutan Hari Wilayah Persekutuan Sederhana Tetapi Meriah – Tengku Adnan

kunan1

PUTRAJAYA: Perbelanjaan bagi acara-acara sambutan sempena Hari Wilayah Persekutuan akan dikurangkan daripada antara RM5 juta dan RM6 juta pada tahun-tahun sebelumnya kepada kira-kira RM1.78 juta tahun ini.

Namun, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pengisian sambutan itu bertema ‘Wilayah Persekutuan Ceria’ tahun ini dijamin tetap meriah dengan pelaksanaan pelbagai program khusus untuk menambah lagi keceriaan warga Wilayah Persekutuan.

Katanya tema itu dipilih selaras dengan hasrat mewujudkan persekitaran kota yang lebih makmur, selesa, indah, selamat, kondusif, serta mengembangkan sumber masyarakat kota yang produktif untuk terus berkembang ke tahap maksimum.

“Kami yakin walaupun kurang dari segi kewangan, program yang dirancang akan tetap meriah dalam skala sederhana. Diharapkan semua warga Wilayah Persekutuan akan dapat memberikan komitmen,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, Isnin.

Beliau berkata perbelanjaan untuk sambutan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ialah kira-kira RM980,000, Putrajaya RM430,000 manakala Labuan RM370,000.

Tengku Adnan berkata langkah mengurangkan perbelanjaan itu dibuat selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya setiap pihak berusaha gigih untuk berjimat cermat.

Antara program yang digugurkan tahun ini ialah Pelancaran Hari Wilayah Persekutuan dan majlis penutupannya, Kejohanan Golf Diraja dan beberapa acara festival yang biasa diadakan sempena Hari Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, katanya objektif sambutan Hari Wilayah Persekutuan tetap diutamakan termasuk mewujudkan warga kota yang harmoni, prihatin, maju, sejahtera, menyuburkan semangat muhibah serta integrasi pelbagai lapisan masyarakat di samping menghargai individu yang banyak memberi pelbagai bantuan dan sumbangan kepada Wilayah Persekutuan.

Antara yang dirancang di Putrajaya ialah acara Langkah Ceria dan Kibar Bendera WP bersama Felda (19 Jan), Konvoi Berbasikal (9 Feb), Kenduri 1Wilayah Persekutuan (22 Feb) dan Program CSR (22 Feb).

Program di Kuala Lumpur pula melibatkan acara Kibar Bendera (22 Jan), Majlis Tahlil (30 Jan), Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat (1 Feb), Forum Perdana (6 Feb) dan Kenduri 1Wilayah Persekutuan (22 Feb).

Program Kibar Bendera (19 Jan), acara Duathlon Khas (15-16 Feb), Malam sambutan Hari Wilayah Persekutuan (15 Feb) dan Kenduri 1Wilayah Persekutuan (22 Feb) pula akan diadakan di Labuan.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");