Berita Hari Ini

Pesanan Terakhir Seorang Ayah

pesanan akhir ayah

KUALA TERENGGANU – “Baba berpesan kepada saya agar sentiasa teguh dan sabar dalam meneruskan perjuangan Islam,” kata Hilmi Harun, sayu.

Allahyarham Harun Taib selamat dikebumikan kira-kira jam 11 pagi semalam.

Adun Manir itu yang  merupakan anak sulung Allahyarham berkata, pesanan itu adalah kata-kata terakhir arwah ayahnya supaya dia meneruskan perjuangan Islam.

Hilmi yang menganggap arwah sebagai sebutir permata pejuang Islam, menaruh harapan kepada seluruh anak didik arwah supaya terus menyambung perjuangan yang dipeloporinya sekian lama.

“Arwah mula mengalami ‘minor strok’ sejak 2010, tetapi mutakhir ini keadaan kencing manisnya tidak stabil menyebabkan arwah terpaksa dimasukkan ke hospital petang Rabu lalu.

“Arwah juga mengalami luka yang teruk dan tidak dapat diatasi menyebabkan semalam (kelmarin) kuman merebak ke semua organ dalaman termasuk buah pinggang, sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.17 malam tadi (malam semalam) di Hospital Sultanah Nur Zahirah,” katanya.

Bagaimanapun, Hilmi serta keluarga reda dengan pemergian insan tersayang itu.

“Saya berharap rohnya diredai serta ditempatkan di kalangan orang yang soleh. Saya juga memohon maaf jika selama ini arwah ada silap dan salah dengan mana-mana pihak.

“Terima kasih kepada semua yang datang menghulurkan pertolongan dan beri penghormatan terakhir kepada arwah,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Dun, Mohd Zubir Embong, yang turut hadir ketika pengebumian arwah, menyifatkan arwah seorang yang tegas.

“Arwah seorang yang tegas tetapi suka buat jenaka. Arwah mempunyai prinsip perjuangan yang hebat dan secara peribadi saya hormati kewibawaan yang ada padanya.

“Arwah juga bijak mengeluarkan idea bernas dalam memastikan kemakmuran dalam perjuangannya,” katanya.

Zubir berkata, walaupun berlainan platform (politik), kehilangan arwah sangat dirasai dan dia percaya kesedihan itu turut dirasai semua pihak.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan berharap mereka menerima takdir ini penuh reda,” katanya.

 

 

 

-SINAR HARIAN-

http://www.sinarharian.com.my/nasional/pesanan-terakhir-seorang-ayah-1.244370

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");