Berita Hari Ini

Polis Tubuh Pasukan Khas Siasat Perhimpunan Haram

POLIS

KUALA LUMPUR: Polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes berhubung perhimpunan haram yang mengganggu sambutan ambang tahun baharu, di Dataran Merdeka, malam Selasa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata pihaknya berjanji akan memberi keutamaan kepada kes itu dengan melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh seminggu.

“Kami akan jalankan siasatan berhubung kes ini kerana mereka ini telah mengganggu-gugat kesejahteraan awam ketika sambutan tahun baharu malam tadi,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, Rabu.

Beliau berkata berdasarkan pemerhatian polis, kira-kira 25,000 orang hadir di Dataran Merdeka malam tadi termasuk mereka yang datang untuk menyambut tahun baharu.

Polis tidak menolak kemungkinan penganjur perhimpunan itu adalah empat badan bukan kerajaan (NGO) seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Perhimpunan haram itu bertukar ganas dan merencatkan konsert Ambang Merdeka anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang terpaksa dihentikan setengah jam sebelum detik 12 tengah malam.

Polis sebelum ini menamakan empat NGO sebagai terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram berkenaan iaitu Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Jingga 13 dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Mohmad berkata sebanyak 1,936 laporan polis diterima daripada NGO dan individu yang membantah perhimpunan itu, manakala lapan laporan polis dibuat terhadap perhimpunan haram malam tadi.

Beliau berkata laporan polis itu termasuk berhubung penemuan empat bilah parang dan tiga pisau rambo yang disembunyikan dalam payung di celah pokok bunga, belakang bangunan Kompleks Daya Bumi.

“Kami menerima maklumat itu daripada seorang pengawal keselamatan yang juga anggota polis bantuan. Kami masih menyiasat motif senjata itu diletakkan di situ,” katanya.

Mohmad berkata pihaknya turut menerima laporan berhubung seorang pegawai polis cedera di kepala dan mulut semasa bertugas selepas dibaling dengan tin minuman oleh peserta perhimpunan di Bukit Bintang.

Beliau berkata sehingga kini tiada tangkapan dibuat berhubung perhimpunan haram terbabit.

-BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");