Jenayah

Sebutan semula kes amah hempas bayi ditangguh

yuliana

Kuantan: Mahkamah Sesyen di sini, semalam, menangguhkan sebutan semula kes seorang pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa melambung dan menghempas bayi lelaki majikannya, Februari tahun lalu.

Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad berkata, ia berikutan beberapa dokumen belum diserah pihak pendakwa yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Amir Abu Bakar Abdullah kepada peguam tertuduh, T Vijayandran.

Januari pendengaran kes

Sehubungan itu, Nik Nasimah menetapkan 27 Januari ini sebagai tarikh pendengaran semula kes membabitkan tertuduh, Yuliana, dari Aceh, Indonesia.

Yuliana sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 19 Februari lalu atas tuduhan mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan kerana menghempas dan melambung Mohamed Hareez Zamri, empat bulan, sebanyak sembilan kali yang boleh mendatangkan kematian kepada mangsa pada jam 7.45 pagi, 15 Februari lalu di rumah ibu bapa mangsa di nombor 7, Lorong Bukit Setongkol 38, Jalan Bukit Setongkol, di sini.

Dia juga dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menganiaya Mohamed Hareez menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa dan bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia dijatuhi hukuman penjara masing-masing 15 tahun dan 5 tahun.

Yuliana kemudian membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi di sini dan Hakim Datuk Mariana Yahya mengetepikan hukuman itu pada 20 November lalu, selepas mendapati wanita terbabit tidak memahami sepenuhnya pertuduhan dibacakan terhadapnya ketika didakwa di Mahkamah Sesyen pada 19 Februari tahun lalu.
Sementara itu, Vijayandran ketika ditemui berkata, penangguhan itu juga bagi membolehkan mahkamah membuat keputusan berhubung representasi dikemukakannya bagi menggugurkan pertuduhan berhubung tindakan anak guamnya itu boleh mendatangkan kematian.

“Pihak Timbalan Pendakwa Raya hari ini (semalam) menyerahkan beberapa dokumen kepada saya tetapi masih ada yang belum diserahkan termasuk keputusan berhubung representasi yang dihantar Oktober tahun lalu,” katanya.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");