Berita Hari Ini

Sektor Pelancongan Sumbang 12 Peratus KDNK – Nazri

nazri

LANGKAWI: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz malam Ahad mengulangi bahawa kerajaan tidak boleh mengabaikan industri pelancongan kerana sektor itu menjana 12 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar dan mempunyai lebih 16 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja.

Katanya, industri itu penting dalam ekonomi Malaysia dan merupakan sumber pendapatan pertukaran asing kedua terbesar negara.

“Ia telah menjadi satu daripada nadi negara, membabitkan hampir semua aspekkehidupan kita. Oleh itu wajarlah kita mengambil usaha kolektif untuk menyambuttetamu asing kita dengan layanan terbaik,” katanya pada majlis penutup ‘LangkawiNaturally Magical’ yang dilakukan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun DrMahathir di sini.

Mohamed Nazri berkata, 28 juta pelancong antarabangsa dijangka melawat Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 dan berbelanja sebanyak RM76 bilion.

Beliau berkata, kementeriannya melaksanakan pendidikan selama setahun dan mempromosikan program ‘We are the Host’ untuk melengkapi barisan hadapan industri dengan keupayaan dan keyakinan menjadi tuan rumah kepada pelancong asing.

“Ini adalah kempen nasional yang memerlukan sokongan dan komitmen setiap warga Malaysia untuk menghulurkan tangan bagi memastikan tetamu asing seronok tinggal di Malaysia dan memberi mereka kenangan indah yang akan dikongsi dengan keluarga dan kenalan di negara mereka.

“Kita telah melalui tempoh yang panjang, daripada lima juta pelancong pada 1989, kita telah melepasi banyak jangkaan, terutama sekali impian kita untuk menjadi satu daripada destinasi pelancongan paling dinamik di dunia,” katanya.

Sementara itu, Mukhriz semasa merasmikan penutupan acara berkenaan berkata, acara tersebut merupakan satu kejayaan luar biasa.

“Kita menyasarkan 300,000 pelancong sempena acara ini tetapi malam ini saya dengan bangganya mengumumkan setengah juta pelancong dari dalam dan luar negaramelawat Langkawi dalam tempoh 18 hari Langkawi Naturally Magical,” katanya.

Mukhriz berkata, acara itu turut menggamit pelancong serantau terutama dari Indonesia dan Thailand yang datang untuk menonton persembahan bintang pujaan mereka.

“Ini bermakna berita ini telah tersebar. Kita telah berjaya menyebarkan kepada pelancong serantau mengenai tarikan Langkawi Naturally Magical dan mereka berada di sini untuk menyaksikannya. Inilah sebabnya saya berani mengatakan acara pada tahun ini lebih besar dan lebih hebat,” katanya.

Sepanjang 18 hari acara itu, pelancong berpeluang menyaksikan persembahan laser artis yang memenangi anugerah iaitu Glen Turner daripada Oracle Attractions dan pengarah pertunjukan air Jack Ellison.

Pertunjukan pada sebelah malam menggunakan teknologi kesan khas terkini untuk menggabungkan komponen utama persembahan iaitu pancaran laser, pancutan air, ski dan bunga api secara harmoni.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");