Jenayah

Sengsara dokumen disalah guna

sengsara

SEGAMBUT – Seorang lelaki terkejut setelah mendapat tahu kad pengenalan lama miliknya telah disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan dia diisytiharkan muflis.

Mangsa, Yam Fatt, 56, mendapat tahu mengenai pengisytiharan muflis berkenaan pada tahun 1998 apabila permohonannya untuk membuat pasport ditolak berikutan masalah tersebut.

Menurutnya, keadaan menjadi semakin rumit apabila akaun bank miliknya turut dibekukan akibat tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu.

“Keadaaan saya memang sengsara masa tu, sebab langsung tak ada duit nak tampung belanja harian,” katanya pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat DAP Segambut, semalam.

Tambahnya, permohonannya membuat pasport ditolak kerana terdapat seorang individu lain yang mempunyai nama hampir sama dengan nama di kad pengenalannya dan mempunyai nombor kad pengenalan sama telah diisytiharkan muflis.

Bimbang masalah menjadi lebih teruk, Yam Fatt kemudian memohon bantuan Pusat Khidmat Dun Kuala Kubu Baru pada tahun 2010.

“Saya dah tak ada cara lain kerana khidmat peguam yang digunakan sebelum ini tiada hasil.

“Keadaan ini memang tak adil kerana yang muflis adalah individu lain, bukan saya seperti didakwa,” katanya.

Setelah memohon bantuan pusat khidmat, Yam Fatt berkata, pihaknya berjaya membuktikan kepada Jabatan Insolvensi bahawa individu yang diisytiharkan muflis adalah orang lain.

Namun begitu, pihak berkenaan tidak dapat memberi pelepasan memandangkan hanya mahkamah berkuasa mengambil tindakan.

“Dah banyak saya berhabis untuk membuktikan saya tidak bersalah,” tambahnya.

Pada 17 Disember tahun lepas, Yam Fatt memaklumkan dia ada menerima surat pelepasan muflis oleh Jabatan Insolvensi, namun ia ditujukan atas nama individu tersebut dan bukan dirinya.

Jelasnya, pihaknya amat berharap agar jabatan berkenaan dapat mengeluarkan sijil pelepasan berdasarkan nombor kad pengenalannya bagi mengelakkan sebarang kejadian penyalahgunaan berlaku.“Saya harap mereka akan mengeluarkan sijil di atas nama saya sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng memberitahu, berdasarkan maklumat yang diberikan Jabatan Insolvensi, pihaknya mendapati individu itu menetap di Melaka.

Menurut beliau, mangsa juga pernah pergi ke Melaka beberapa kali bagi mencarinya namun tidak berjaya.

“Malah menerusi surat maklum balas yang dihantar oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada Khamis lalu, ia jelas menunjukkan nombor kad pengenalan yang dikemukakan tidak merujuk kepada nama yang dinyatakan sebelum ini,” katanya.

Lip Eng berkata, pihak berkenaan perlu menyediakan sijil pelepasan berdasarkan nama dan kad pengenalan mangsa bagi mengelakkan kesulitan.

“Sebenarnya, banyak lagi kes penyalahgunaan kad pengenalan berlaku di negara ini, dan mana-mana mangsa diminta tampil ke depan bagi memudahkan pihak kami membantu,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");