Jenayah

Serah anak dalam pantang

serah anak

KUALA TERENGGANU – Setiap manusia mahukan kebahagian. Namun bagi Wan Rosmaliza Edzura Wan Mohd Nor, 36, dari Kampung Kubang Buyong, Chabang Tiga, di sini, hidupnya sering dirundung malang dengan dugaan yang datang bertimpa-timpa.

Dek kerana kesempitan hidup, Wan Rosmaliza Edzura yang mesra dengan panggilan Suri menempuhi pelbagai cabaran. Selain pernah dua kali dihalau dari rumah akibat tidak mampu membayar sewa, Suri juga pernah membuang rasa malu meminta bantuan dari pelbagai pihak.

Namun, dugaan paling besar dalam hidupnya adalah apabila terpaksa menyerahkan bayi lelakinya kepada orang lain sebagai anak angkat.

Dalam keadaan masih berpantang dan usia bayinya baharu 11 hari, Suri mengetepikan segala rasa sedihnya sebagai seorang ibu menyerahkan bayi yang dikandungnya selama sembilan bulan kepada pasangan suami isteri yang berasal dari Dungun.

“Ibu mana yang tergamak bagi anak sendiri kepada orang lain, namun saya terpaksa buat begitu kerana hidup saya dengan suami ketika itu benar-benar susah dan terdesak.

“Selain itu, niat saya ingin membantu pasangan suami isteri tersebut kerana mereka tidak mempunyai anak selain mahu anak saya  yang diberi nama Mohd Amirul Saimi dapat menjalani kehidupan lebih sempurna,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Suri, ketika melahirkan Mohd Amirul lima tahun lalu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), dia sudah mempunyai empat anak.

Namun dia tidak mampu menjaga Mohd Amirul kerana arwah suaminya menderita penyakit tibi tulang memerlukan lebih perhatian dan perbelanjaan.

“Saya melahirkan dia melalui pembedahan, ketika itu.. saya tidak mampu menguruskan Amirul sebab terpaksa menjaga arwah suami yang sakit. Saya benar-benar terdesak tambah pula kami tidak ada wang.

“Saya ambil keputusan serahkan dia kepada orang lain. Ketika itu, saya minta ibu bapa angkatnya menjaga dia dengan baik dan jangan sesekali pisahkan dia dengan saya serta adik beradiknya kerana dia
tetap anak saya,” katanya.

Bagaimanapun kata Suri, sejak Amirul berusia dua tahun, dia tidak lagi dapat berjumpa dengan anaknya itu kerana keluarga yang menjaganya sudah berpindah.

“Saya sangat rindukan dia, saya cuba hubungi mereka tetapi SMS yang saya hantar tidak dibalas,” katanya.

Kata Suri, tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk mengambil Amirul kembali tetapi dia sangat berharap agar hubungan anak kelimanya dengan adik beradik yang lain tidak putus.

“Sebelum ini, keluarga angkatnya sering kali bawa Amirul datang ziarah saya, dapatlah dia kenal dan main dengan adik beradiknya walaupun dia tidak dibesarkan bersama,” katanya yang telah berkahwin lain setelah suaminya meninggal empat tahun lalu.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");