Jenayah

Simpati makan diri

bsbol

Za menunjukkan jarinya yang bengkak kerana terkena libasan kayu besbol:-

KOTA BHARU – Simpati sepasang suami isteri terhadap seorang wanita yang juga kenalan mereka akhirnya memakan diri apabila dipukul suami wanita itu, dipercayai akibat cemburu buta.

Kejadian berlaku ketika pasangan tersebut baru sahaja selesai menghantar anak perempuan mereka ke pusat tuisyen berhampiran, jam 2.30 petang kelmarin.

Mangsa, seorang ejen insurans berusia 43 tahun dan isteri, suri rumah berusia 44 tahun itu, didatangi empat lelaki ketika berjalan di lorong hadapan kedai Emas Arked Uda.

Lelaki terbabit memanggil mereka tetapi tidak diendahkan, lalu rakannya bertindak menendang perut mangsa hingga terjatuh.

Dia kemudian mengeluarkan kayu besbol yang terselit di belakang baju dan memukul mangsa di lengan kanan.

Isteri mangsa yang panik, menghalang lelaki itu daripada terus menyerang suaminya, namun terkena libasan kayu tersebut di tangan kanan, menyebabkan dua jarinya bengkak.

Mereka bernasib baik kerana ketika itu ramai orang di tempat kejadian yang tampil membantu, menyebabkan lelaki terbabit bersama tiga rakannya beredar.

Isteri mangsa dikenali sebagai Za berkata, dia mengenali lelaki tersebut kerana mereka kerap diganggu olehnya.

“Sebelum ini, isterinya yang saya panggil Yah bekerja di kedai berdekatan dengan syarikat suami saya bekerja. Suami saya pernah bantu Yah ketika dia kesempitan wang dan saya juga tahu mengenainya.

“Namun, suami Yah pula menuduh suami saya ada hubungan sulit dengan Yah menyebabkan dia sering mengganggu dan mengugut kami sejak November tahun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kedai Salor di sini, semalam.

Menurutnya, perkara itu telah beberapa kali dibincangkan dengan lelaki tersebut termasuk juga pertemuan dengan keluarga isterinya itu.

“Pun begitu, dia tetap tidak puas hati dan buat tuntutan bukan-bukan. Dia juga ada minta RM700 sebagai ganti rugi awal Januari lalu.

“Saya dan suami tidak faham ganti rugi dimaksudkan. Kami tidak membayarnya menyebabkan dia berdendam. Saya terkilan kerana simpati kami tunjukkan akhirnya hanya memakan diri sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan daripada isteri mangsa.

Katanya, pasangan terbabit dirawat sebagai pesakit luar dan mengalami sakit badan serta lebam di lengan selain bengkak jari, sementara suspek pula sedang diburu bagi membantu siasatan.

“Suspek berusia 30 tahun dari Geting, Tumpat dan tidak mempunyai pekerjaan. Motif serangan dipercayai cemburu dan salah faham.

“Isteri suspek pula tidak lagi bekerja di kedai terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");