Perak Hari Ini, Sukan Hari Ini

Skuad Seladang Tidak Gentar Bertemu JDT Esok

PERAKTODAY3

Usah gentar!

Demikian amanat yang disampaikan pengurus pasukan Seladang, Datuk Azhar Ahmad kepada para pemain yang bakal beraksi dengan pemain bertaraf bintang apabila menentang Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan pembukaan Liga Super 2014 yang dijadual berlangsung di Stadium Tan Seri Hasan Yunus, dekat Larkin, malam esok.

Walaupun pernah dilabel sebagai pasukan ‘belasahan’, kesebelasan utama skuad Seladang yang akan diturunkan diingatkan agar tidak mudah gentar dengan situasi tersebut sebaliknya mempamerkan aksi terbaik mereka apabila berada di atas padang.

Jelas Azhar lagi, setiap pemain perlu mempamerkan aksi yang terbaik dan agresif untuk memenangi perlawanan pertama bagi skuad Seladang dalam Liga Super 2014.

“Biar apa pun gelaran yang diberikan kepada skuad Seladang, saya mahu setiap pemain beraksi dengan bersungguh-sungguh untuk meraih kemenangan pada perlawanan pertama malam esok.

“Kemenangan itu bukan untuk diri pemain semata-mata tetapi ia juga sebenarnya melambangkan kemenangan negeri Perak,” katanya.

Terdahulu, Azhar mengadakan pertemuan dengan pemain pasukan Seladang di kediaman rasmi Menteri Besar Perak sebelum mereka bertolak dengan menaiki bas ke Johor bagi menghadapi perlawanan pertama, malam esok.

Hadir sama, jurulatih pasukan, Abu Bakar Fadzim.

Tambah Azhar lagi, hasil bimbingan jurulatih, prestasi dan tahap kecerdasan pemain semakin meningkat apabila latihan dijalankan dua kali sehari iaitu pada sebelah pagi dan petang.

Katanya, rakyat Perak khususnya penyokong setia skuad Seladang juga memberi reaksi positif terhadap komitmen pihak pengurusan dan sebanyak tujuh buah bas akan bertolak ke Johor bagi memberi sokongan moral kepada para pemain.

“Bagi saya, ini satu permulaan yang baik untuk skuad Seladang kerana penyokong kini kembali memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan kita,” tambahnya.

Sementara itu, Abu Bakar pula menasihatkan pemain terutamanya di bahagian pertahanan agar tidak alpa apabila beraksi menentang pasukan JDT.

Peranan penjaga gol juga katanya, penting dalam menentukan perlawanan malam esok berpihak kepada pasukan Seladang atau sebaliknya.

“Saya harap gandingan pemain senior dan baru yang diturunkan esok dapat mengharungi tempoh 90 minit perlawanan dengan aksi yang laju, sekaligus mencatat kemenangan pertama buat skuad Seladang,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");