Perak Hari Ini

Tindakan Tegas Diambil Jika Bertindak Di Luar Batasan: DS Zambry

mb bg

Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak di luar batasan berhubung insiden dua murid sekolah rendah jenis kebangsaan (SJKC) Khai Meng, dekat Sungkai yang didenda secara keterlaluan oleh guru kerana gagal menyiapkan kerja sekolah pada 23 Januari lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata pihaknya sudah meminta Jabatan Pelajaran Negeri menjalankan siasatan bagi menyiasat kesahihan dakwaan itu sebelum sebarang tindakan sewajarnya diambil.

Jelasnya, ini perlu bagi memastikan kejadian sama tidak berulang di masa akan datang

“Kita tidak perlu terjun atau terus buat analisa yang membangkitkan keresahan rakyat kerana dakwaan itu perlu disiasat untuk menentukan kesahihannya. Kita serahkan kepada pihak jabatan untuk buat siasatan dan difahamkan guru tersebut akan ditukarkan ke sekolah lain,” katanya kepada pemberita di Bukit Gantang, petang tadi.

Mengulas lanjut, Zambry menegaskan kes itu perlu ditangani dengan sebaiknya-baiknya dan kerajaan negeri tambahnya, tidak akan melindungi mana-mana pihak yang melakukan tindakan di luar batasan.

“Jika terdapat mana-mana pihak yang melakukan perbuatan di luar batasan, maka tindakan sewajarnya akan diambil,” tegasnya lagi.

Zambry berkata lagi, insiden yang berlaku itu tidak menguntungkan mana-mana pihak baik di pihak sekolah, ibu bapa dan juga murid itu sendiri.

Sebaliknya, isu itu tegasnya, perlu diselesaikan secara baik dan kedua-dua murid tersebut sudah meneruskan persekolahan mereka seperti biasa hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");