Membawang Hari Ini

Tuah PU Hafiz

pu hafiz

PROGRAM berunsurkan islamik realiti, Mimbar Pencetus Ummah, telah pun melabuhkan tirainya dan Pencetus Ummah (PU) Hafiz telah dinobatkan selaku juara musim pertama 2013/2014′.

Kemenangan PU Hafiz atau nama sebenarnya, Muhammad Hafiz Mohd Haneefa, itu turut menyaksikan anak jati Klang, Selangor ini membawa pulang sebuah kereta sumbangan Toyota, Wang tunai berjumlah RM 50000 berserta trofi, pakej percutian halal ke China dan beberapa hadiah menarik yang lain.

Program yang berjaya menambat hati ramai penonton ini dilihat berjaya membawa impak yang besar dan menjadi satu fenomena di Malaysia.

Satu keputusan yang mengejutkan apabila sebelum ini rata-rata penonton, peminat dan juga pengikut di media sosial seperti Facebook dan Twitter meramalkan PU Shahul dan PU Yeop bakal menjadi johan.

Ini kerana PU Hafiz sebelum ini pernah dua kali berada di kedudukan tiga terbawah dan hampir tersingkir.

Ternyata PU Hafiz bangkit memberikan persembahan yang menarik ketika di pentas untuk minggu sebelum ini dan telah berjaya menarik hati penonton dan juga juri.

Dengan menyampaikan dua tazkirah bertemakan Pilihan Juri dan Cinta Rasulullah, PU Hafiz berjaya mencuri hati pengundi dan juri.

Persembahan pada malam terakhir berjaya memberikan impak kepada audiens untuk menghayati tazkirah yang disampaikan.

Bagi juri persembahan, Abby Fana berkata jika sebelum ini persembahan PU Hafiz tidak konsisten tetapi tempo persembahannya kembali meningkat apabila memasuki minggu separuh akhir. Sekali lagi PU Hafiz membuktikannya di pentas final.

Menurut Ustaz Kazim Elias Pula, pengisian PU Hafiz bagi malam final sangat menarik dan penuh pengisian serta berjaya menyentuh hati penonton dan dia sememangnya layak bergelar juara.

Naik taraf sekolah agama

Memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi, PU Hafiz memberitahu, beliau langsung tidak menyangka akan menjadi juara untuk program ini dan ternyata rezeki memihak kepada dirinya.

“Secara peribadi saya begitu bersyukur dengan nikmat yang diberikan dan rezeki yang dikurniakan kepada saya apabila bergelar juara.

“Saya berterima kasih kepada ibu dan ayah saya kerana mendidik saya dengan ilmu agama sehingga saya berada di sini.

“Tidak lupa juga kepada pihak Astro yang telah memberikan satu platform kepada saya untuk meneruskan perjuangan dakwah saya,” kata bekas graduan Sarjana Pengajian al-Quran dan Sunnah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Pensyarah Qiraati dan juga Naib Presiden Akademi di Kolej Hafiz Klang ini juga berharap program seumpama ini akan diteruskan untuk masa hadapan.

“Saya Harap Program seumpama ini dapat diteruskan secara berterusan bagi melahirkan lagi pendakwah-pendakwah di Malaysia.

“Kemenangan ini menjadi loncatan kepada saya untuk menaik taraf sekolah agama yang diusahakan oleh keluarga saya.

“Dengan kemenangan ini juga mampu membuka minda ibu dan bapa untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah agama dan itu lah perancangan saya. Justeru, penambahbaikan dan memperkenalkan pendidikan Islam secara lebih dekat,” katanya.

Pencetus Ummah program realiti Islamik

Setelah menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada peminat dan juga pengikut program Mimbar Pencetus Ummah ini Murabbi seperti Datuk Dr Fadzilah Kamsah merasakan satu fenomena baru dalam bidang dakwah telah berlaku di Malaysia.

“Apa yang saya perhatikan berbagai kritikan positif dilontarkan peminat program ini dan ada dalam kalangan mereka yang mahu program ini diteruskan.

“Saya selaku tenaga pengajar bagi PU juga berterima kasih kepada pihak Astro kerana berjaya melahirkan generasi muda yang bakal menggantikan saya dalam bidang dakwah satu ketika nanti,” katanya.

Bagi Ustaz Ahmad Termizi dan Ustaz Haji Zulkifli Hamat berpendapat program seumpama ini sememangnya menepati cita rasa rakyat Malaysia yang mula tergerak hati untuk mendalami ilmu agama.

Justeru program berunsur Islam yang lebih ringan dan santai boleh menjadi batu asas kepada permulaan kepada setiap individu mendekati Allah.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Encik Namanzee Harris berkata, pihak Astro Oasis berbesar hati dengan sambutan yang diterima daripada seluruh lapisan masyarakat terhadap program ini.

“Sebagai sebuah saluran gaya hidup keluarga Islam, pihak kami mempunyai tanggungjawab untuk sentiasa menerbitkan program keagamaan.

“Walaupun mempunyai stail yang berbeza, namun kekal dengan matlamat utama untuk melahirkan masyarakat yang bertamadun berlandaskan syariat agama Islam,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");