Perak Hari Ini

2 Suspek Ditahan Kutip Derma Guna Sijil Palsu

PERAKTODAY53

Polis berjaya menahan dua wanita yang dipercayai aktif mengutip derma di sekolah sekitar Ipoh untuk mengisi tabung membina bangunan tambahan asrama dan surau sebuah pertubuhan anak yatim dengan menggunakan sijil palsu, semalam.

Sebelum ini, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIPk) tampil membuat laporan polis pada 20 Febuari lalu berikutan tindakan sindiket itu yang menggunakan nama dan sijil badan berkenaan bagi memungut derma.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri, Supt Maszley Minhad, sindiket kutipan derma tersebut melibatkan lebih daripada dua individu yang bertindak memungut derma di sekitar Kuala Kangsar dan Ipoh.

“Pertubuhan ini memulakan kutipan derma dengan bantuan petugas seramai 19 orang termasuk dua suspek yang telah direman sehingga 1 Mac ini,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Jelasnya lagi, kedua-dua suspek wanita itu, masing-masing seorang suri rumah dan ibu tunggal dipercayai aktif membuat kutipan di sekitar Ipoh, Taiping, Selama, Kuala Kangsar dan Kulim dengan menjadikan sekolah sebagai sasaran utama.

“Sebanyak tujuh buah sekolah menjadi sasaran sindiket tersebut dan hasil semakan mendapati, suspek berjaya memungut sekitar RM5,705 sejak Januari yang lalu,” katanya.

Kutipan derma yang bermula pada 2011 sehingga Februari dianggarkan mencecah nilai hampir RM1 juta, katanya.

Tambah Maszley lagi, siasatan masih dijalankan untuk mendapatkan bukti barangan kes dan mengesan ahli sindiket lain yang turut terlibat sama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi penipuan yang boleh membawa kepada hukuman penjara mandatori 1 tahun atau 10 tahun serta boleh dikenakan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu juga, kes ini turut disiasat di bawah undang-undang kutipan derma dari rumah ke rumah dan jalanan 1947.

Ujar Maszley lagi, mengikut peruntukan itu, pemohon hanya boleh mengutip derma tidak melebihi tiga bulan dalam tempoh masa setahun dan hanya boleh diperbaharui kebenaran mengutip derma untuk tempoh satu bulan sahaja.

“Pertubuhan anak yatim tersebut sememangnya pernah memohon kebenaran tersebut tetapi hanya sekali sahaja iaitu pada 2012.

“Selepas tempoh tersebut, kegiatan mengutip derma adalah salah di sisi undang-undang,” tegasnya.

Beliau berkata lagi, pihaknya juga merampas fail, buku-buku resit, sijil watikah daripada pertubuhan dan senarai nama petugas yang terlibat sama.

Tegasnya juga, orang ramai dinasihati supaya tidak mudah terpedaya pada individu atau pertubuhan yang membuat kutipan derma secara terbuka.

“Sekiranya mempunyai keraguan, orang ramai dinasihatkan menghubungi pihak berkuasa dengan kadar segera,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");