Perak Hari Ini

65 Peratus Samseng Jalanan Penunggang Bawah Umur

PERAKTODAY12

Kira-kira 65 peratus daripada 219 penunggang motosikal yang diberkas dalam Ops Cantas Khas di Daerah Manjung sepanjang tahun lalu dan awal tahun ini merupakan golongan remaja yang berumur di bawah lingkungan usia 15 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah, ACP Jaafar Baba, angka yang begitu tinggi itu cukup membimbangkan dan ia juga merupakan tanda penularan gejala sosial di kalangan remaja.

Katanya lagi, sebanyak 62 operasi telah dijalankan sepanjang tahun lepas dan sebanyak 123 buah motosikal telah ditahan atas beberapa kesalahan yang dilakukan oleh penunggang.

“Bagi kesalahan penunggang yang berumur 16 tahun ke atas pula, seramai 77 orang ditahan atau mewakili 35 peratus sahaja,” katanya kepada pemberita di Manjung, hari ini.

Mengulas lanjut, Jaafar berkata, tidak memiliki lesen memandu dan menunggang motosikal selepas tamat tempoh lesen antara kebanyakan kesalahan yang dilakukan oleh penunggang motosikal.

Jelasnya lagi, masyarakat perlu memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi mengekang penularan kegiatan samseng jalanan dari semasa ke semasa.

“IPD Manjung sendiri kerap menjalankan operasi pada setiap minggu untuk mengekang aktiviti samseng jalanan secara drastrik,” katanya.

Katanya, operasi secara kerap dilihat mampu mengurangkan gejala samseng jalanan tersebut daripada terus menular.

Tegasnya, menunggang kenderaan tanpa lesen merupakan satu kesalahan yang berat manakala bagi pesalah yang di bawah umur 15 tahun pula, tindakan saman akan dikenakan terhadap pesalah dan ibu bapa serta kes akan dibicarakan di mahkamah.

Ujarnya lagi, tindakan menahan pesalah lalu lintas adalah bertujuan mendidik mereka dan bukannya menghukum.

“Kebanyakan ibu bapa tidak mengetahui kegiatan anak mereka di luar sana dan kita harap agar mereka lebih prihatin dengan perkara ini kerana ia menjurus kepada gejala sosial,” katanya.

Sementara itu, Jaafar turut menggesa orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat bagi menangkap tiga suspek yang dikehendaki pihak polis atas kesalahan memiliki dadah.

“Ketiga-tiga suspek tersebut iaitu Rasul Abdul Rahman, Lydiawati Amran dan Abdul Mursyid Atan merupakan pengedar dadah atau ‘street pusher’ dan ‘runner’ di sekitar daerah Manjung,” katanya.

Jelasnya, sebanyak 1,308 kes berkaitan pengedaran dadah direkokodkan tahun lalu dengan 1,332 tangkapan telah dibuat.

“Untuk tempoh Januari tahun ini sahaja, masing-masing seramai 55 pengedar dan 85 penagih dadah berjaya ditangkap,” tambah beliau lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");