Berita Hari Ini

Bantuan Banjir RM500 Di Terengganu Selewat Mac

Banjir

MARANG – Sebanyak 18,408 keluarga daripada keseluruhan 19,205 keluarga mangsa banjir di Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu yang masih belum menerima bantuan kerajaan persekutuan RM500 akan menerima bantuan itu selewat-lewatnya Mac ini.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu Mohd Sharif Hassan berkata bantuan itu akan disalurkan secara berperingkat mengikut daerah dan menurutnya MKN sedang dalam peringkat terakhir proses mengemas kini data penerima bantuan itu.

“Bantuan ini diberikan kepada setiap keluarga mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan…kita sedang dalam semakan terakhir supaya tidak ada berlaku pertindihan nama penerima dan bagi mengelakkan berlakunya keciciran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyampaian Bantuan Ehsan Bencana Banjir Daerah Marang di sini hari ini yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian dan Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri A Latiff Awang.

Sejak awal Januari lepas, bantuan ehsan itu telah disalurkan kepada 797 keluarga iaitu 101 keluarga di Setiu, Marang (43 keluarga), Besut (46 keluarga) dan 607 keluarga di Kampung Pandan di Kemaman.

Mohd Sharif berkata mengikut jadual, bantuan itu akan disampaikan kepada penerima di kawasan Telemong pada 6 Feb, Ajil (16 Feb) dan Kuala Berang (18 Feb) manakala bagi Kemaman dan Dungun akan diberikan secara berperingkat dan dijangka selesai selewat-lewatnya Mac ini.

Seorang daripada penerima, Ramli Ibrahim @ Yusof, 72, dari Kampung Pengkalan Berangan berkata bantuan yang disalurkan secara tunai ini sangat membantu dirinya sedang kesempitan wang selain menanggung isteri yang sedang menderita akibat strok.

“Pak cik bersyukur kerana di saat susah ini, kerajaan memberi bantuan dan pak cik nak guna duit RM500 ini untuk menanggung kos perubatan dan membeli lampin pakai buang isteri pak cik.

“Hampir RM400 pak cik terpaksa cari setiap bulan untuk kos jaga mak cik, lampin dan ubat dia mahal sebab beli dekat klinik swasta,” katanya.

Seorang lagi penerima, Che Kemaala Che Leh, 77, dari Kampung Pasir Puteh berkata bantuan yang diterimanya itu akan digunakan untuk membantu cucunya, Wan Tahir Wan Sulong, 21 yang akan menyambung pelajaran peringkat ijazah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

“Untuk belanja harian mak cik guna duit yang mak cik dapat setiap bulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

 

– BERNAMA –

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");