Perak Hari Ini

APMM Selamatkan Bot, Dua Nelayan Masuki Perairan Bertindih

PERAKTODAY51

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya membebaskan sebuah bot nelayan tempatan dan dua awak-awak warga Thailand yang ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia kerana dipercayai berada di kawasan perairan bertindih antara kedua-dua negara tersebut, Selasa lalu.

Menurut Ketua Penguatkuasa Maritim 3 Lumut, Kapten Abdul Razak Johan, sebelum kejadian, bot nelayan dengan nombor pendaftaran PKFB (U) 1538 itu berada di perairan Malaysia kira-kira 45 batu nautika barat Pulau Pangkor, iaitu kira-kira 17 bn dari sempadan perairan negara.

Namun, kawasan tersebut juga didakwa sebagai perairan bertindih antara Malaysia dan Indonesia.

“Selain bot, dua awak-awak warga Thailand turut ditahan sebelum diarah belayar ke Belawan, dekat Sumatera dengan diiringi oleh pihak berkuasa Indonesia,” katanya kepada pemberita di Pantai Remis, hari ini.

Menurut Abdul Razak juga, selepas menerima laporan, APNM telah melancarkan operasi mengesan bot terbabit dengan bantuan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut namun usaha tersebut gagal kerana bot terbabit sudah melepasi perairan Indonesia.

Katanya, KM Malamawi diarahkan untuk melancarkan operasi mengesan bot tersebut dengan bantuan KD Jerai yang secara kebetulan sedang meronda di perairan Pulau Jarak.

PERAKTODAY52

 

“Sebuah bot laju milik APMM dari Pengkalan Kuala Kurau juga diarah untuk ke lokasi bagi menjayakan operasi mengesan bot itu,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, memandangkan bot tersebut sudah diiringi memasuki perairan negara jiran, pihaknya segera menghubungi Pusat Operasi APMM (POMAR) di Putrajaya untuk tindakan susulan.

“Pihak POMAR telah menghubungi pihak bertanggungjawab di Indonesia untuk proses membebaskan bot nelayan tempatan tersebut,” katanya lagi.

Dengan bantuan Badan Koordinasi Keamanan Laut (BAKORMALA), bot dan warga asing yang turut ditahan itu juga telah dibebaskan semalam, kata Abdul Razak.

“Bot dan kedua-dua awak-awak berada dalam keadaan yang baik dan selamat pulang ke Pengkalan Perikanan Pantai Remis sambil diiringi bot APNM Petir 80 dan KM Mawali,” jelasnya lagi.

Abdul Razak turut merakamkan penghargaan kepada BAKORMALA di atas bantuan dan persefahaman yang dicapai hingga membawa kepada pembebasan bot dan dua nelayan tersebut.

Sementara itu, beliau turut menasihati semua nelayan agar melakukan aktiviti menangkap ikan secara berkumpulan serta memaklumkan lokasi tangkapan ikan yang dipilih kepada Pusat Operasi Maritim Lumut.

“Maklumat tersebut memudahkan kita memantau dan menjaga keselamatan nelayan melalui aset yang dimiliki APMM,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");