Sukan Hari Ini

Azraai tak berminat isu Irfan

irfan ghani

JURULATIH T-Team, Mohd. Azraai Khor Abdullah tidak berminat untuk membicarakan status salah seorang pemainnya, Muhammad Irfan Abdul Ghani yang sehingga ke hari ini masih belum kelihatan kelibatnya di bumi Terengganu.

Sehingga ke hari ini, Irfan yang mencetuskan kontroversi selepas memberi pendedahan tiada berlaku kekecohan dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, Johor Bahru pada 1 Februari lalu, masih belum turun berlatih bersama skuad kendalian Azraai itu.

“Dia belum ‘menjelma’ di bumi Terengganu, kita hubungi dia, tetapi tidak berjawab. Sebagai pemain profesional, Irfan sepatutnya tahu apa tanggungjawab dia.

“Saya serahkan kepada pihak pengurusan untuk komen masalah ini kerana saya rasa mereka sudah ada sesuatu untuk dia. Saya lebih berminat pada pemain yang turun latihan,” katanya.

Selepas aksi pusingan kedua Piala FA antara T-Team dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) pada 1 Februari lalu, Irfan telah meminta pelepasan daripada pihak pengurusan T-Team untuk pulang ke Johor atas urusan keluarga.

Namun, pada Rabu lalu, dia mendedahkan kepada media bahawa tiada berlaku kekecohan dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain pada waktu rehat separuh masa pertama di stadium berkenaan seperti yang dilaporkan sebelum ini sehingga menyaksikan T-Team membuat keputusan menarik diri daripada meneruskan aksi separuh masa kedua.

“Saya kini hanya memberi fokus terhadap persediaan pasukan daripada memikirkan kontroversi Irfan. Dia pemain profesional, dan harus tahu apa yang perlu dibuat.

“Saya hanya serahkan masalah ini kepada pihak pengurusan,” kata Azraai.

Dalam perkembangan lain, Azraai memuji semangat yang dipamerkan oleh skuad kendaliannya pada aksi Liga Super menentang Angkatan Tentera di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri 2-2.

“Pemain telah menampilkan aksi terbaik walaupun pasukan dilanda kontroversi pada kempen Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru pada 1 Februari lalu.

“Kami sudah melupakan insiden tersebut dan fokus kini adalah kepada saingan liga.

“Saya berpuas hati dengan komitmen pemain. Walaupun tidak sehebat pasukan lawan, mereka telah menunjukkan semangat juang yang tinggi,” katanya ketika ditemui malam kelmarin.

Dalam perlawanan itu, pasukan tuan rumah terlebih dahulu memecah kebuntuan melalui rembatan kencang Azlan Ismail pada minit ke-12.

Pelawat yang bekerja keras untuk mengikat kedudukan akhirnya berhasil pada minit ke-38 melalui rembatan kencang, bekas pemain T-Team, Nor Fazly Alias.

Pada minit ke-59, pemain import ATM, Bruno Sebastian Marteloto menambah derita T-Team menerusi serangan pantas ke kubu lawan.

Pemain tengah The Titans, Khairan Ezuan menjadi penyelamat pasukan tuan rumah apabila mengikat ATM dengan keputusan seri 2-2 pada minit ke-90.

Mohd. Azraai menambah, pada perlawanan itu, dia dapat melihat kesungguhan yang ditunjukkan para pemain terutama apabila ketinggalan satu gol.

Katanya, mereka tidak menyerah kalah malah memberi komitmen habis-habisan dalam memperoleh satu mata yang cukup berharga pada aksi di laman sendiri.

“Saya juga ingin memuji penjaga gol yang banyak menghalang percubaan pasukan ATM sepanjang perlawanan tersebut.

“Dia juga telah menyelamatkan sepakan penalti oleh penyerang ATM,Juan Manuel Arostegui,” katanya.

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");